Survival Pelajar IPT di Zaman AI: Kuasai Digital atau Ketinggalan

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
20 February 2025
Industri, Penyelidikan dan Inovasi, RENCANA, Umum

Oleh: Dr. Dzulkarnain Musa

Dalam dunia yang bergerak sepantas kilat, kemahiran digital bukan lagi sekadar kelebihan – ia adalah keperluan. Bagi para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi, menguasai teknologi bukan hanya tentang kekal relevan, tetapi lebih kepada membina masa depan yang lebih cerah. Landskap pekerjaan yang semakin didominasi oleh inovasi teknologi, mereka yang mahir dalam kemahiran digital akan sentiasa berada selangkah dihadapan.

Bagi pelajar dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), menguasai kemahiran teknikal seperti pengaturcaraan bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan. Bahasa seperti Python, Java, dan C++ kini menjadi kunci kepada pelbagai inovasi – dari pembangunan aplikasi hingga kecerdasan buatan (AI). Selain itu, kemahiran membina laman web dan aplikasi mudah alih membuka pintu kepada lebih banyak peluang dalam ekonomi digital. Namun, penguasaan teknologi sahaja tidak mencukupi. Dunia ICT menuntut kerjasama dan kreativiti – sebab itulah pelajar perlu membiasakan diri dengan platform seperti GitHub untuk kolaborasi projek, membangunkan penyelesaian inovatif bersama pasukan, dan melatih kemahiran kerja berpasukan yang semakin dihargai dalam dunia pekerjaan.

Pelajar dalam bidang lain, kemahiran digital tetap memainkan peranan besar. Pelajar perniagaan misalnya, harus mahir dalam analisis data menggunakan spreadsheet untuk membuat keputusan kewangan yang lebih tepat. Manakala mereka yang terlibat dalam bidang pemasaran perlu memahami “algoritma” media sosial serta menggunakan platform seperti Canva dan TikTok untuk membina strategi pemasaran digital yang berkesan. Selain itu, keupayaan menggunakan alat analisis data seperti Power BI dan Looker Studio juga semakin bernilai. Di dalam era “big data”, siapa yang mampu mentafsir dan mengubah data menjadi strategi akan sentiasa menjadi aset penting dalam mana-mana organisasi.

Melangkah ke dunia pekerjaan hari ini bukan lagi tentang persoalan kelulusan akademik yang cemerlang semata-mata, tetapi tentang keupayaan untuk beradaptasi dengan cepat terhadap perubahan teknologi. Di dalam dunia yang dipacu oleh AI, automasi, dan digitalisasi, kemahiran digital adalah tiket emas untuk berjaya. Institusi pengajian tinggi perlu memastikan pelajarnya bukan hanya mahir dalam teori, tetapi juga dipersiapkan untuk menghadapi cabaran dunia nyata. Penguasaan kemahiran digital, para pelajar bukan sahaja bersedia untuk berhadapan dengan kemajuan teknologi, malah mereka juga mampu menjadi penggerak utama dalam mencipta perubahan dan inovasi dalam industri masing-masing.

Ringkasnya, dunia pekerjaan di masa hadapan bukan hanya berkaitan tentang siapa yang paling bijak, tetapi siapa yang paling bersedia. Institusi Pengajian Tinggi perlu memainkan peranan utama dalam melengkapkan para pelajar dengan kemahiran digital yang relevan – bukan sahaja dalam bidang ICT, tetapi dalam semua bidang pengajian. Jadi, sama ada anda bakal seorang jurutera, usahawan, pakar pemasaran, atau pentadbir, satu perkara pasti: jika anda ingin terus relevan dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi, anda perlu kuasai digital, atau bersedia untuk ketinggalan!

DR. DZULKARNAIN BIN MUSA
Pensyarah Keusahawanan Digital
Jabatan Perdagangan
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
06000 Jitra, Kedah

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti