
KITAREPORTERS.COM
Mohd Zool Fazlee Basir (kiri) bergambar dengan insentif kecemerlangan yang diterima pasukan petanque.
Kejayaan membimbing pasukan petanque negara ke pentas antarabangsa membuktikan kehebatan apabila menjadi menerima pengiktirafan berprestij negara.
Pensyarah Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) yang juga Pengurus pasukan petanque Universiti Malaysia ke Kejohanan Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya, Indonesia, Mohd Zool Fazlee Basir diraikan atas komitmen cemerlang dalam membimbing pasukan negara ke pentas antarabangsa.
Beliau diraikan dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan AUG 2024 dan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Universiti Malaysia ke Sukan Universiti Dunia atau World University Games (WUG) 2025 di Jerman yang diadakan di Hotel Zenith, Putrajaya.
Zambry Abd Kadir (tengah) bergambar dengan sebahagian pegawai dan pemain pentaque di Putrajaya.
Majlis penuh gemilang itu telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir sebagai penghargaan kepada atlet dan pengurus pasukan universiti yang telah mengharumkan nama Malaysia di kejohanan AUG 2024.
Apa yang membanggakan pasukan petanque Malaysia berjaya meraih insentif berjumlah RM6,000 atas pencapaian membanggakan di kejohanan tersebut – bukti keampuhan sukan universiti Malaysia pada peringkat serantau.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Mohd Zool Fazlee atas kejayaan ini. Komitmen beliau membimbing pasukan sehingga berjaya di arena ASEAN amat membanggakan POLIMAS dan Malaysia.
“Kami percaya pencapaian ini mampu menjadi pencetus inspirasi buat seluruh warga institusi,” menurut kenyataan rasmi pihak pengurusan POLIMAS.
Mohd Zool Fazlee (tengah) menunjukkan replika cek insentif kecemerlangan AUG 2024 untuk sukan pentaque yang diterima oleh pasukan itu.
Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris turut menzahirkan rasa bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh pensyarah berkenaan.
“Pencapaian Mohd Zool Fazlee bukan sahaja membanggakan, malah membantu melonjakkan nama POLIMAS sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang, tetapi juga tenaga pengajar berkaliber yang menyumbang pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Kejayaan ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat dan pelajar bahawa POLIMAS adalah destinasi pilihan terbaik untuk melanjutkan pengajian,” katanya.
Mohd Zool Fazlee bukan sahaja telah membuktikan keupayaan sebagai pengurus sukan berwibawa, malah kini terus mencari bakat bakat baru dalam kalangan pelajar POLIMAS dalam sukan petanque kususnya, untuk dibawa ke Kejohanan Petanque yang seterusnya. – KitaReporters