
Alor Setar – Seramai 23 pelajar Diploma Pemasaran (DPR1B), Semester 1, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah menunjukkan komitmen tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial melalui Program Ambang Ramadan 2025. Program ini berlangsung dengan penuh meriah di Kariah Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Jalan Kuala Kedah, Kedah, baru-baru ini dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan masyarakat setempat.
Penasihat program, Mohd Nazimi Zaim Ismail, yang juga pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, menzahirkan rasa bangga terhadap usaha para pelajar dalam menjayakan program ini. Menurut beliau lagi, “Sebagai pelajar baharu, mereka telah menunjukkan tahap kepimpinan dan tanggungjawab yang tinggi. Program seperti ini memberi pendedahan awal kepada mereka tentang kepentingan menyumbang kepada masyarakat dan bagaimana nilai etika dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.”
Katanya lagi, “Pelajar yang telah mengikuti kursus, Penghayatan Etika dan Peradaban di bawah Jabatan Pengajian Am, mereka telah membuktikan keupayaan dalam menggalas tanggungjawab serta mengaplikasikan nilai etika, kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan dalam program yang telah diadakan ini”. Mohd Nazimi Zain Ismail juga merupakan Imam Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Kedah.
Program ini turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk kariah yang memberikan maklum balas positif terhadap usaha pelajar POLIMAS dalam membantu, berinteraksi, dan memahami peranan mereka sebagai individu yang bertanggungjawab dalam komuniti. Jalinan erat yang terbentuk melalui program ini membuktikan bahawa pendidikan bukan sahaja berfokus kepada akademik, tetapi juga membentuk nilai kesukarelawanan dan pembangunan sosial dalam kalangan pelajar.
Menariknya, dalam Pertandingan Memasak Bubur Kanji, pihak masjid turut mendapat kerjasama dari institusi di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (POLYCC), iaitu Kolej Komuniti Arau dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Perlis yang bertindak sebagai panel juri pertandingan. Kehadiran mereka bukan sahaja menambah elemen profesional dalam penjurian tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat setempat.
Menurut salah seorang peserta program, Nurul Husna Ahmad Rizan, pengalaman ini telah membuka matanya tentang peranan pelajar dalam komuniti.Katanya,”Kami bukan sekadar hadir untuk menimba ilmu di dalam kelas, tetapi juga perlu menyumbang kepada masyarakat. Program ini sangat bermakna kerana kami dapat merasai sendiri suasana gotong-royong dan berinteraksi dengan penduduk setempat”. Katanya lagi, “Saya berharap lebih banyak program sebegini dapat dianjurkan,” .
Seorang warga kariah, Wan Nordin Wan Daud, turut menyatakan rasa gembira dengan kehadiran para pelajar yang menunjukkan sikap mesra dan bersemangat dalam menjayakan program ini. Katanya, “Alhamdulillah, kehadiran anak-anak muda ini membawa kemeriahan dan semangat baharu kepada kariah kami. Mereka bukan sahaja membantu menjayakan aktiviti, tetapi juga menunjukkan nilai budi bahasa yang tinggi. Semoga hubungan baik antara masjid dan institusi pendidikan seperti POLIMAS ini dapat diteruskan,”.
Program Ambang Ramadan 2025 ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan dan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat setempat pada masa hadapan.