Tausiah Kemerdekaan tingkat semangat patriotisme pelajar

POLITEKNIK UNGKU OMAR
15 August 2024
Aktiviti Pelajar

Ipoh, 14 Ogos 2024 – Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM PUO telah menganjurkan Program Tausiah Kemerdekaan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri, Anggota Majlis Hukama’ Al-Muslimin. Program ini berlangsung dari jam 2.00 hingga 4.30 petang di Ruang Legar, Perpustakaan Tan Sri Othman Merican PUO. Majlis telah dihadiri oleh para pelajar semester satu serta majlis kepimpinan pengurusan asrama.

Dalam tausiahnya, Dato’ Seri Dr. Zulkifli menekankan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah serta kepentingan membina ukhuwah antara kaum Muhajirin dan Ansar, sebagai teladan dalam menjaga hubungan sesama manusia. Beliau turut menyentuh mengenai kepentingan sifat menepati masa dan kebersihan, seperti yang diamalkan oleh masyarakat Jepun, yang menjadi faktor kemajuan negara mereka.

Dato’ Seri Dr. Zulkifli turut mengingatkan bahawa tiada istilah rehat atau mencuri masa dalam bekerja. Beliau mengajak masyarakat untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian dan tidak mudah berputus asa, serta menasihati agar tidak terpengaruh dengan budaya negatif. Beliau juga menyarankan agar setiap kali mendapat ilmu baru, ia seharusnya dicatat dan dijadikan panduan hidup.

Beliau turut menekankan konsep penggunaan masa dengan bijak, bertanya kepada tempat yang betul jika tidak memahami sesuatu serta tidak takut untuk bertanya. Dato’ Seri Dr. Zulkifli juga mengingatkan agar kita menggunakan setiap peluang dengan sebaik mungkin, membina jati diri dari dalam diri sendiri, dan menjadi individu yang bermanfaat kepada orang lain.

Program ini diakhiri dengan peringatan bahawa kejayaan datang daripada pengurusan masa yang baik, manakala kelemahan sering berpunca daripada sikap bertangguh. Beliau mengajak semua untuk mencontohi junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam menguruskan masa dengan bijak, serta menginsafi kesilapan lalu untuk menjadi yang terbaik pada masa akan datang.

Menurut penyelaras program, Ustaz Mohd Rosdi bin Ripin, program ini dilaksanakan dengan objektif untuk meningkatkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan pelajar dengan memahami erti kemerdekaan yang sebenar melalui perspektif sejarah dan ketuhanan serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kehidupan seharian.

Turut hadir ke majlis ini adalah Encik Norman Zamri, Timbalan Pengarah (Akademik), ketua-ketua jabatan akademik dan kakitangan PUO.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti