Tiga pasangan kembar pilih bidang TVET di Kolej Komuniti Jelebu

KOLEJ KOMUNITI JELEBU
07 August 2024
Akademik, Umum

30 Julai 2024, Jelebu – Bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional atau ‘Technical and Vocational Education and Traning’ (TVET) semakin mendapat tempat dalam kalangan belia khususnya lepasan SPM.

Suasana ini dapat dilihat semasa Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) bagi Sesi I : 2024/2025 yang berlangsung disini. Proses pendaftaran yang bermula pada jam 8.30 pagi berjalan lancar dibantu oleh petugas dan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) KKJU yang telah membuat persiapan awal bagi memudahkan urusan pelajar baharu dan keluarga yang datang dari seluruh negara termasuk dari Sarawak.

Lebih menarik, tiga pasangan kembar seiras turut mendaftar sebagai pelajar baharu KKJU untuk sesi ini. Farihin Samsor Azman dan pasangan kembarnya Fadlin Samsor Azman memilih program Sijil Teknologi Elektrik Pemasangan dan Perkhidmatan.

Farihin berkata minat mereka untuk menceburi bidang elektrik timbul sejak berusia 15 tahun lagi apabila mengikuti ayah mengikuti ayah mereka melakukan kerja pendawaian elektrik .

Sementara itu, pasangan Nur Amira Najwa Samsul Baharidan Nur Arisya Najwa Samsul Bahari pula memilih program Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan. Minat yang mendalam dan pengalaman kakak mereka yang pernah memilih bidang sama sebelum ini turut mendorong pasangan kembar seiras ini memilih KKJU untuk menambah ilmu dalam bidang kemahiran.  

Berbeza pula dengan Shavilan a/l Sureshyang memilih program Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan manakala pasangannya kembarnya Shamalan a/l Suresh lebih meminati program Sijil Teknologi Maklumat. Menurut ibu mereka, Suguna a/p Suppiah anak kembarnya memilih untuk melanjutkan pengajian di KKJU kerana minat mereka berlainan dan program yang diminati itu ada ditawarkan di KKJU.

“Selain itu, mereka juga mengikut nasihat abang-abang mereka yang telah melanjutkan pengajian di Politeknik Port Dickson kerana yakin bidang TVET menawarkan masa hadapan yang lebih cerah,” ujarnya lagi.

Seramai 162 orang pelajar baharu telah mendaftar di KKJU untuk Sesi I : 2024/2025 bagi lima program yang ditawarkan iaitu Sijil Teknologi Elektrik Pemasangan dan Perkhidmatan, Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan, Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan, Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Khas Pemprosesan Makanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti