Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi beramah mesra dengan Warga Kolej Komuniti Lahad Datu

UKK JPPKK
08 April 2023
Uncategorized

8 April 2023, Lahad Datu – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Mohammad Yusof bin Apdal hari ini mengadakan lawatan kerja ke Kolej Komuniti Lahad Datu (KKLD), Sabah. Lawatan ini turut diiringi oleh YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

YB Timbalan Menteri memulakan lawatan beliau dengan melawat lokasi Kursus Pembelajaran Sepanjang hayat (PSH). Seramai 50 peserta kursus pendek telah menyertai kursus ini yang terdiri daripada komuniti setempat termasuk pelajar Madrasah Darul Ulum dan Madrasah Bahrul Al-Ulum. Antara kursus yang dijalankan adalah Kursus Penghasilan Nestum Cereal Cookies, Kursus Penghasilan Cornflakes Crunchy Cookies, Kursus Penghasilan Mazola Cookies dan Kursus Penghasilan Red Velvet Cookies.

Beliau dalam ucapannya menyatakan bahawa TVET bukan lagi satu aliran alternatif dalam sistem pendidikan tinggi negara sebaliknya ia merupakan satu pilihan.

YB Timbalan Menteri turut merasmikan Pusat Inkubator KKLD yang berperanan sebagai pusat keusahawanan bagi pelajar untuk memasarkan produk yang dihasilkan kepada komuniti setempat. Pusat ini melatih pelajar untuk bergiat dengan lebih aktif dalam bidang keusahawanan.

YB Timbalan Menteri turut menyampaikan Anugerah Peserta PSH Berjaya kepada Encik Johan bin Thomas, Peserta Kursus Urban Farming, Anugerah Alumni Berjaya Dalam Bidang, Encik Muhammad Hanif bin Said, Anugerah Alumni Bakti Setia, Encik Khairi Nazim bin Kadir dan sijil kepada peserta-peserta Kursus PSH.

Hadir sama pada lawatan ini ialah Ts. Haji Muhamad Rumzi bin Mamat, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Encik Jamaluddin bin Lantara, Pengarah Kolej Komuniti Lahad Datu serta pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti