Transformasi bandar mapan melalui pengangkutan aktif

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
09 January 2025
RENCANA

Ketika bandar-bandar di seluruh dunia berhadapan dengan cabaran kesesakan lalu lintas, pencemaran, dan sistem pengangkutan yang tidak mapan, konsep pengangkutan aktif semakin mendapat perhatian sebagai langkah penting untuk masa depan mobiliti bandar. Pengangkutan aktif merujuk kepada sebarang bentuk pengangkutan yang memerlukan usaha fizikal untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, seperti berjalan kaki, berbasikal, dan menggunakan e-skuter atau e-basikal. Dengan kawasan metropolitan yang semakin berkembang dan kesedaran orang ramai terhadap impak alam sekitar yang semakin meningkat, pengangkutan aktif menawarkan alternatif yang mesra alam, sihat, dan cekap untuk kawasan bandar dan sekitarnya.

Salah satu faktor utama yang mendorong pengangkutan aktif adalah kesan positif terhadap alam sekitar. Berjalan kaki, berbasikal, dan mod pengangkutan aktif yang lain menyumbang kepada pencapaian sasaran karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ kerana ia tidak menghasilkan pelepasan karbon berbanding kenderaan bermotor biasa. Sasaran karbon sifar bersih adalah merujuk kepada pengimbangan pelepasan dan penyerapan gas rumah kaca (GHG). Kerajaan Malaysia sendiri komited untuk mencapai sasaran karbon sifar bersih seawal tahun 2050. Pengangkutan aktif dapat membantu mengurangkan pencemaran udara, memperbaiki kualiti udara, dan mengurangkan kesan perubahan iklim.

Di bandar-bandar yang mengalami masalah kualiti udara, adalah lebih baik untuk beralih kepada pengangkutan aktif kerana ia merupakan cara terbaik untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti udara di kawasan tersebut. Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara yang berkaitan dengan pengangkutan adalah salah satu penyebab utama kematian pramatang dalam populasi bandar yang menyumbang kepada masalah pernafasan dan kardiovaskular. Justeru, dengan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan bermotor, ia dapat membantu mengatasi cabaran kesihatan awam.

Pertambahan populasi dan peningkatan jumlah kenderaan di kawasan metropolitan telah menjadikan kesesakan lalu lintas sebagai masalah utama yang sering dihadapi oleh penduduk. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan masa perjalanan menjadi lebih panjang, tetapi juga membawa kepada pembaziran sumber seperti petrol dan peningkatan kos kewangan. Sebaliknya, pengangkutan aktif seperti berjalan kaki dan berbasikal memerlukan ruang yang jauh lebih kecil berbanding kenderaan seperti kereta, membolehkan lebih ramai orang bergerak tanpa menyumbang kepada kesesakan lalu lintas. Di bandar seperti Kopenhagen dan Amsterdam, infrastruktur basikal yang kukuh membuktikan bahawa pengangkutan aktif mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan kelancaran dan kecekapan perjalanan.

Di samping itu, pengangkutan aktif merupakan pilihan yang lebih murah berbanding pengangkutan bermotor. Sebagai contoh, kos memiliki dan menyelenggara kereta adalah tinggi, termasuk harga pembelian, penyelenggaraan, insurans, minyak, dan bayaran parkir. Sebaliknya, berjalan kaki adalah percuma dan boleh menjadi alternatif yang lebih murah berbanding pemilikan kereta. Selain itu, penggunaan e-basikal dan e-skuter juga semakin mudah diakses melalui perkhidmatan sewaan yang membolehkan pengguna menyewa secara atas permintaan atau ‘on-demand’. Oleh itu, pengangkutan aktif menjadi pilihan yang lebih ekonomik dan praktikal bagi penduduk bandar.

Dengan berjalan kaki dan berbasikal sebagai mod pengangkutan utama, keperluan untuk tanah yang luas bagi tempat letak kereta dan jalan raya di kawasan bandar dapat dikurangkan. Ruang yang tidak lagi diperlukan untuk kenderaan bermotor boleh digunakan untuk pembangunan seperti perumahan, taman, atau ruang komuniti. Di bandar-bandar yang mengutamakan pengangkutan aktif, kawasan tanah yang dahulunya digunakan untuk parkir boleh ditukar kepada ruang yang lebih produktif, seperti kediaman, kedai, atau ruang rekreasi. Dengan ini, ia membawa kepada penggunaan tanah yang lebih efisien serta mengurangkan perluasan bandar yang tidak terkawal.

Peralihan kepada pengangkutan aktif bukanlah sesuatu yang mudah dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak. Kerajaan, perancang bandar, sektor swasta, penyedia pengangkutan, dan masyarakat perlu bekerjasama untuk membina infrastruktur yang menyokong serta menggalakkan penggunaan pengangkutan aktif. Oleh itu, dasar yang proaktif, perubahan budaya dalam kalangan masyarakat, dan pembangunan infrastruktur yang komprehensif adalah penting untuk memastikan pengangkutan aktif menjadi pilihan utama bagi penduduk bandar secara amnya.

Di peringkat individu, peralihan kepada pengangkutan aktif bermula dengan perubahan kecil dalam norma pergerakan harian. Ia bermula dengan mengintegrasikan perjalanan pendek seperti berjalan kaki atau berbasikal ke dalam rutin harian. Contohnya, memilih untuk berjalan kaki atau berbasikal bagi perjalanan pendek, seperti ke kedai runcit atau surau berdekatan, merupakan satu permulaan yang baik. Secara beransur-ansur, individu boleh meningkatkan jarak perjalanan apabila semakin selesa dengan penggunaan pengangkutan aktif. Perubahan kecil seperti ini akhirnya boleh menjadi satu tabiat yang menjadi sebahagian daripada gaya hidup yang lebih sihat dan mesra alam.

Merancang laluan dengan baik juga penting bagi memudahkan penggunaan pengangkutan aktif. Banyak bandar kini menyediakan aplikasi peta untuk berbasikal dan berjalan kaki yang membantu pengguna mencari laluan yang paling selamat dan efisien. Di samping itu, melabur dalam peralatan yang sesuai seperti basikal yang selesa, kasut yang sesuai untuk berjalan kaki, atau alat keselamatan seperti topi keledar dapat meningkatkan pengalaman pengangkutan aktif agar lebih selesa dan menyeronokkan.

Namun begitu, halangan utama bagi seseorang individu untuk beralih kepada pengangkutan aktif adalah masa dan keselesaan. Orang ramai sering menganggap berjalan kaki atau berbasikal mengambil masa yang lebih lama dan kurang selesa berbanding memandu, terutamanya untuk perjalanan yang jauh. Walau bagaimanapun, dengan penyediaan laluan berbasikal dan zon pejalan kaki yang selamat, pengangkutan aktif boleh menjadi lebih cepat dan efisien, terutamanya di kawasan bandar yang sesak. Lama-kelamaan, ia bukan sahaja menjadi pilihan yang lebih mudah tetapi juga lebih menarik dan lestari.

Oleh yang demikian, pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan penting dalam memudahkan penggunaan pengangkutan aktif. Mereka perlu memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur seperti laluan berbasikal yang selamat dan jalan pejalan kaki yang luas. Selain itu, integrasi pengangkutan aktif dengan pengangkutan awam juga penting untuk mewujudkan rangkaian mobiliti bandar yang lebih lancar.

Hentian pengangkutan awam perlu direka agar mudah diakses dengan berjalan kaki atau berbasikal bagi menggalakkan lebih ramai orang memilih pengangkutan aktif sebagai sebahagian daripada perjalanan harian mereka. Pihak berkuasa tempatan juga boleh mewujudkan zon tanpa kereta di beberapa lokasi di pusat bandar bagi memberi keutamaan kepada pengguanaan pengangkutan aktif seperti berjalan kaki atau berbasikal. Usaha ini boleh menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat, mengurangkan kesesakan lalu lintas, serta menjadikan ruang bandar lebih mesra penghuni untuk semua.

Pihak kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menyokong pengangkutan aktif melalui undang-undang dan insentif. Sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu mengetatkan undang-undang sedia ada terhadap pengguna kenderaan bermotor dengan menetapkan had kelajuan yang lebih rendah di kawasan kediaman serta mewujudkan zon tanpa kereta di kawasan bandar yang padat. Usaha ini akan menjadikan jalan raya lebih selamat untuk pengguna pengangkutan aktif seperti pejalan kaki dan penunggang basikal. Selain itu, kerajaan boleh menjalankan kempen kesedaran kepada orang awam tentang kelebihan pengangkutan aktif dengan menekankan manfaat dari aspek kesihatan dan alam sekitar. Pemberian subsidi untuk pembelian basikal atau insentif cukai bagi penggunaan e-skuter juga merupakan inisiatif yang dapat menarik lebih ramai orang untuk beralih kepada pengangkutan aktif.

Sektor swasta juga mempunyai peranan penting dalam memperkukuhkan pengangkutan aktif. Mereka boleh menyediakan insentif untuk pekerja seperti program berbasikal ke tempat kerja, dengan menawarkan kemudahan tempat letak basikal yang selamat serta insentif kewangan kepada pekerja yang berbasikal ke tempat kerja. Selain itu, syarikat penyedia perkhidmatan e-skuter dan e-basikal boleh memperkenalkan perkhidmatan yang lebih mudah diakses oleh orang ramai, terutamanya di kawasan yang kekurangan infrastruktur pengangkutan aktif. Sektor swasta juga boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan dan komuniti setempat untuk mewujudkan kawasan mesra pejalan kaki dan penunggang basikal di sekitar premis mereka. Tindakan ini bukan sahaja menggalakkan pengangkutan aktif, tetapi juga menarik lebih ramai pelanggan yang memilih untuk berjalan kaki atau berbasikal ke premis mereka.

Perancang dan pereka bentuk bandar perlu memainkan peranan penting dalam memastikan bandar-bandar yang dibangunkan mesra terhadap pengangkutan aktif. Mereka bertanggungjawab merancang ruang awam yang sesuai untuk pejalan kaki dan penunggang basikal, termasuk menyediakan laluan basikal yang selamat, ruang pejalan kaki yang luas, serta kemudahan seperti lintasan pejalan kaki yang mudah diakses dan tempat letak basikal yang selamat.

Di samping itu, perancang dan pereka bentuk bandar juga perlu memberi tumpuan kepada pengintegrasian pengangkutan aktif dengan pengangkutan awam. Contohnya, stesen-stesen pengangkutan awam perlu menyediakan kemudahan seperti tempat letak basikal atau bangunan mesra basikal untuk memudahkan pengguna pengangkutan aktif beralih daripada basikal kepada pengangkutan awam. Pembangunan berorientasikan pengangkutan awam juga dapat membantu mewujudkan komuniti yang lebih mapan dan berkesan, di mana orang ramai dapat berjalan kaki atau berbasikal untuk ke tempat kerja.

Walaupun pengangkutan aktif menawarkan pelbagai manfaat dari segi kesihatan, alam sekitar, dan pengurangan kesesakan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Halangan-halangan ini bersifat fizikal, sosial, ekonomi, dan politik. Oleh itu, ia memerlukan perhatian khusus daripada pihak kerajaan, perancang bandar, dan masyarakat untuk mengatasi cabaran tersebut.

Salah satu cabaran utama yang menghalang peralihan kepada pengangkutan aktif adalah perubahan sikap dan budaya masyarakat terhadap pengangkutan aktif. Dikebanyakan negara, terutamanya dikalangan penduduk bandar, kereta peribadi masih dianggap sebagai simbol status sosial dan kemudahan utama. Perasaan kemewahan yang dikaitkan dengan memiliki kenderaan sendiri yang menjadikan orang ramai kurang berminat untuk beralih kepada pengangkutan aktif.

Selain itu, terdapat juga sikap negatif terhadap berjalan kaki dan berbasikal di kalangan sesetengah individu. Mereka mungkin menganggap bahawa berjalan kaki atau berbasikal kurang efisien dan tidak selesa, terutamanya dalam cuaca panas atau di kawasan yang jauh, malah ada yang merasakan ia memalukan. Perubahan dalam pemikiran masyarakat mengenai keselesaan dan kemudahan pengangkutan aktif memerlukan usaha yang berterusan dari segi pendidikan dan kempen kesedaran untuk mengubah persepsi ini.

Rintangan politik dan kekurangan dasar yang menyokong pengangkutan aktif sering menjadi penghalang utama. Pihak kerajaan kurang memberi perhatian terhadap pembangunan pengangkutan aktif, sebaliknya lebih mengutamakan pembangunan infrastruktur untuk kenderaan bermotor. Walaupun sesetengah bandar telah mengusahakan laluan basikal dan infrastruktur mesra pejalan kaki, masih banyak yang gagal mengutamakan mod pengangkutan aktif akibat daripada pengaruh industri automotif yang kuat atau ketergantungan besar terhadap sistem pengangkutan berasaskan kenderaan bermotor.

Di sesetengah kawasan, peruntukan dana yang diberikan tidak mencukupi untuk projek pengangkutan aktif atau kesukaran dalam mengintegrasikan pengangkutan aktif ke dalam sistem pengangkutan sedia ada boleh menjadi penghalang kepada peralihan kepada mod pengangkutan aktif. Kebanyakan kawasan bandar menghadapi cabaran dalam koordinasi perancangan antara kerajaan tempatan dan pihak swasta untuk menyediakan kemudahan yang sesuai bagi pengangkutan aktif.

Tambahan pula, keadaan cuaca dan geografi turut menjadi faktor yang menghalang orang ramai daripada beralih kepada mod pengangkutan aktif. Terutamanya di Malaysia, kadar taburan hujan yang tinggi dan cuaca panas terik menyebabkan berjalan kaki atau berbasikal dilihat sebagai sesuatu yang tidak praktikal. Selain itu, penyediaan laluan basikal dan ruang pejalan kaki yang tidak berbumbung, serta kekurangan kemudahan tempat berteduh, turut menyukarkan penggunaan pengangkutan aktif. Di kawasan berbukit pula, pengangkutan aktif dianggap tidak praktikal untuk perjalanan harian. Oleh yang demikian, keadaan ini menyebabkan ramai orang lebih memilih untuk menggunakan kenderaan bermotor berbanding pengangkutan aktif.

Secara keseluruhannya, mod pengangkutan aktif menyumbang kepada bandar yang lebih mapan dan inklusif, dengan menyediakan lebih banyak ruang untuk pejalan kaki, penunggang basikal, serta ruang awam yang menyokong interaksi sosial dan rekreasi. Ia juga membuka peluang untuk pembangunan yang lebih padat dan efisien, meningkatkan aksesibiliti, serta mengurangkan kos pengangkutan. Oleh itu, pengangkutan aktif mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, selamat, dan mesra, menjadikan bandar lebih mudah didiami dan meningkatkan kualiti hidup bagi semua penghuninya.

Diharapkan lebih banyak bandar di seluruh dunia akan mengutamakan pengangkutan yang mesra alam, dengan menyediakan ruang yang mencukupi untuk pejalan kaki, penunggang basikal, dan pengangkutan awam. Harapan ini juga mencakupi kesedaran yang lebih mendalam tentang pentingnya kesihatan, kelestarian, dan kualiti hidup dalam masyarakat bandar. Dengan perubahan ini, kita dapat mencipta bandar yang lebih selamat, sihat, dan berdaya tahan di mana mobiliti yang efisien tidak hanya bergantung pada kereta, tetapi pada alternatif yang lebih lestari dan inklusif.

Akhirnya, menjadi harapan penulis agar setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keupayaan, dapat menggunakan pengangkutan yang selamat, berpatutan, dan mesra alam untuk menghubungkan mereka dengan peluang kehidupan yang lebih baik dalam bandar yang lebih mapan dan harmoni.

Penulis :

Nur Amer Bin Mohd Sabrek

Pelajar Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

Ts. Nur Faezah Binti Yahya

Pensyarah Kanan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor

Dr. Ahmad Yusri Mohamad

Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pahang

Prof. Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff

Pensyarah Kanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti