TVET ASEAN perkukuhkan kerjasama serantau

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
05 December 2024
KERATAN AKHBAR, Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Seramai 18 peserta daripada negara-negara ASEAN berhimpun di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) bagi menghadiri Regional Training Programme on Enhancing TVET Instruction Through Interactive and Digital TVET.

Program bermula sejak 26 Februari itu disertai oleh tenaga pengajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Thailand, Kemboja, Myanmar, Vietnam dan Timor Leste.

Wakil Malaysia bagi negara anggota SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH) Ts. Zulkernai Fauzi berkata, TVET interaktif dan digital memainkan peranan penting dalam membentuk masa hadapan bidang pendidikan di seluruh rantau ini.

“Dengan memanfaatkan potensi teknologi yang transformatif, penyedia TVET boleh meningkatkan kualiti dan kebolehcapaiannya dengan memperkasakan individu,memperkukuh ekonomi dan memupuk pembangunan mampan.

“Sebagai wakil negara-negara anggota, kita bertanggungjawab dalam memastikan pendidikan yang inklusif, sama rata dan berfokus pada masa hadapan.

“Melalui kerjasama, perkongsian pengetahuan dan tindakan kolektif, kita mempunyai peluang untuk memangkin perubahan positif, memberi inspirasi kepada inovasi serta membuka laluan baharu ke arah kemakmuran bersama untuk semua,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia Rose Lina Ismail pada majlis perasmian penutup yang diadakan di Anjung Bestari PSA di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Kompetensi dan Peningkatan Kerjaya, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Zulkurnain Shahadan, wakil SEAMEO VOTECH Brunei Darussalam Ariffin Yusof, Pengarah Bahagian Instruksional dan Pembelajaran Digital JPPKK Tengku Besaruddin Tengku Yaakob dan Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman manakala pemangku pengarah SEAMEO VOTECH Brunei Darussalam Pengiran Mohammad Sufri Pengiran Ali hadir secara dalam talian.

Sementara itu Zulkurnain Shahadan berkata, penyedia TVET perlulah menawarkan program-program yang memenuhi keperluan industri serta beradaptasi dengan menggabungkan peralatan dan platform digital baharu.

“Pendidikan 4.0 juga semakin berkembang pesat dan kini membolehkan pensyarah dan pelajar menggunakan pendekatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) baharu dalam memaksimumkan potensi teknologi yang terdapat dalam revolusi perindustrian (IR4.0),” ujarnya.

Regional Training Programme on Enhancing TVET Instruction Through Interactive and Digital TVET merupakan program kolaborasi antarabangsa anjuran The SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH) Brunei Darussalam dengan kerjasama PSA.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti