SABAK BERNAM, 4 OGOS 2024 – Minggu ini merupakan minggu pendaftaran pelajar baharu bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2023 ke institusi pengajian tinggi, Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia turut menerima pelajar baharu.
Di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), lebih 800 orang pelajar baharu telah berjaya mendaftarkan diri di Dewan Seri Lang sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi I 2024/2025, baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Akademik, Haji Zainuddin bin Kasmuri berkata kemasukan pada sesi ini sangat positif, dan ia menunjukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan kedua dan semakin diyakini.
“Peningkatan kemasukan sebanyak 20 peratus menunjukan ibu bapa dan pelajar percaya bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua berikutan kemahiran dimiliki graduan dalam bidang itu amat diperlukan untuk menyokong kemajuan sektor industri di negara ini.
Kini rakyat Malaysia sudah mula menampakkan peluang pasaran terutama dalam bidang kemahiran tinggi melibatkan teknologi dan vokasional, sekali gus memudahkan pemain industri berkaitan mencari pekerja melibatkan tenaga kerja berkemahiran,” katanya.
Tambahnya lagi, PSIS dapat melihat kesungguhan pihak Kerajaan merealisasikan agenda TVET Nasional agar setanding dengan negara maju.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui pada hari pendaftaran tersebut berasa bersyukur kerana anak mereka ditawarkan ke PSIS.
PSIS adalah institusi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang terbuka kepada individu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan terbuka kepada semua tanpa peringkat umur yang menawarkan 10 program Diploma berdasarkan permintaan industri keperluan semasa.