5 SEPTEMBER 2023, Permatang Pauh – Menelusuri 25 tahun penubuhannya, Politeknik Seberang Perai (PSP) terus unggul dengan membawakan tema ‘PSP Unggul Memacu Aspirasi TVET Berkualiti’ pada penganjuran Majlis Konvokesyen (PSP) Ke-22 dengan seramai 1,951 graduan bagi 13 program akan menerima diploma masing-masing pada kali ini. Majlis konvokesyen ini telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi bin Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi sidang pertama.
Tema itu dipilih seiring dengan keunggulan PSP sebagai institusi berasaskan TVET yang telah melahirkan seramai 36,775 graduan selama 25 tahun penubuhannya selain seiring dengan Agenda Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi memastikan TVET terus diperkasakan selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).
Majlis konvokesyen yang turut dihadiri oleh ibu bapa dan waris graduan ini melibatkan empat (4) jabatan induk di PSP iaitu Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan yang telah menamatkan pengajian mereka masing-masing pada Sesi I 2021/2022, Sesi II 2021/2022 dan Sesi I 2022/2023.
Pada sidang ini juga TYT Tun turut menyampaikan Anugerah Pengarah Politeknik Seberang Perai kepada tiga (3) graduan iaitu Saudara Muhammad Norfirdauz Zamzuri, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) , saudara Aidil Afiq Muhamed Hanif, Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komunikasi) dan Amir Firdaus Fauzi, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) . Ketiga-tiga mereka menerima piala dan wang tunai bernilai RM500 setiap seorang beserta sumbangan daripada pihak zakat RM1000 seorang. Manakala 12 graduan yang cemerlang peringkat jabatan, masing-masing akan menerima sebuah piala dan wang tunai RM 300.
Dalam majlis yang sama, TYT Tun telah melancarkan sambutan 25 tahun Jubli Perak Politeknik Seberang Perai yang turut dihadiri oleh Mantan-mantan pengarah PSP.
Pengarah PSP, Roseliza Dato’ Shaari, berkata bagi memastikan graduan yang dilahirkan oleh PSP sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, kolaborasi bersama industri sentiasa dipergiat supaya kurikulum yang ada di PSP bersifat ‘Industry Driven Curriculum’ dan graduan yang tamat pengajian di PSP mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.
“Terbukti hari ini dalam tempoh 25 tahun jubli perak, PSP telah melahirkan lebih 36,000 graduan di mana kadar kebolehpasaran graduan PSP sendiri adalah melebihi 90 peratus berturut-turut untuk 5 tahun dan majoriti graduan berjaya mendapatkan pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian atau membuka perniagaan sendiri.
“Justeru tema yang dipilih kali ini amat bertepatan dengan kualiti pencapaian yang telah dikecapi,” katanya.
Salah seorang penerima Anugerah Pengarah PSP, Aidil Afiq Muhamed Hanif berkata, beliau tidak menyangka akan sampai ke tahap seperti ini. Mengimbau kembali keputusan SPM yang tidak cemerlang seperti rakan-rakan lain, membuatkan dirinya ingin bekerja dan tidak berminat lagi untuk meneruskan pengajian. Namun, apabila mendapat tawaran ke PSP, beliau terkejut dan baru mendapat tahu yang kakak dan ibunya membuat permohonan di UPU bagi pihaknya untuk kemasukan ke Politeknik.
“Saya ingin nyatakan saya amat bersyukur dan berterima kasih pada ibu dan kakak saya kerana kejayaan saya hari ini adalah hasil usaha dan doa mereka juga. Ternyata pendidikan berteraskan TVET telah merubah persepsi dan kehidupan saya.
“Sebenarnya, saya juga mendapat tawaran pekerjaan secara tetap dengan gaji yang agak lumayan daripada syarikat telekomunikasi di mana saya menjalankan praktikal. Walau bagaimanapun, saya terpaksa menolak kerana saya memilih untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan di peringkat yang lebih tinggi.
“Kini, saya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di dalam bidang Kejuteraan Mikroelektronik di UNIMAP, Perlis.” katanya yang juga anak kedua daripada empat beradik dan memperoleh Himpunan Purata Nilai Mata (HPNM) 3.97 bagi Sesi II 2021/2022 dalam Diploma Kejuruteran Elektronik (Komunikasi).