Ultras Skuad Antidadah KKJU tekad tangani dadah

KOLEJ KOMUNITI JELEBU
07 March 2024
Aktiviti Pelajar

6 Mac 2024, Jelebu – Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) ‘bergegar’ dengan sorakan semangat pasukan Ultras Skuad Antidadah KKJU dalam program pelancaran sukarelawan Skuad Antidadah (Belia) 2024 yang berlangsung di sini. Program yang dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Jelebu dengan kerjasama KKJU, Jawatankuasa Skuad Antidadah Daerah Jelebu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang dan PEMADAM Daerah Jelebu ini meriah dengan penyertaan pelajar-pelajar KKJU yang bertanding dalam pertandingan ‘War Cry Antidadah’.

Program ini bertujuan untuk mencapai inisiatif Dadah Terkawal 2024 di Negeri Sembilan, menyebar kesedaran tentang bahaya penyalahgunaan dadah kepada masyarakat, mempromosi gaya hidup sihat tanpa dadah dan memperkasa peranan belia dalam aktiviti kesukarelawanan terutamanya dalam aktiviti pencegahan dadah. Program bermula dengan senamrobik dan kemudian diikuti para peserta berentap dalam pertandingan ‘War Cry Antidadah’. Selain itu, pertandingan Tiktok Challenge “Kami SKUAD Antidadah” telah berlangsung seminggu lebih awal untuk menggalakkan para peserta memahami peranan SKUAD Antidadah dengan lebih jelas.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Dato’ Ir. Bakri Sawir, ADUN Klawang. Dalam ucapannya, beliau menegaskan betapa pentingnya peranan belia hari ini untuk bersama mencegah penyalahgunaan dadah dalam masyarakat. Jelasnya, belia hari ini sedang menghadapi cabaran sosial yang getir dan cabaran ini perlu diuruskan dengan bijaksana oleh golongan belia sendiri.  

“Belia perlu menjadi benteng dan barisan hadapan paling ampuh dalam membantu pencegahan dadah kerana belia yang baik dapat mempengaruhi rakan sebaya ke arah kebaikan. Selain berpegang teguh kepada ajaran agama, isilah masa yang ada dengan program-program berfaedah seperti kesukarelawanan ini agar terhindar daripada masalah sosial dan dadah,” ujarnya lagi. 

Dalam program sama, Pengarah KKJU, Ishamuddin Ishak turut menyerahkan nota kerjasama dalam penglibatan program pencegahan dadah kepada pihak AADK Daerah Jelebu yang diterima oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Jelebu, Qiatuddin Aliyuddin.


BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti