
KULIM, 24 Februari 2025 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) nekad memperkukuh usahanya dalam meningkatkan literasi kewangan pelajar melalui jalinan kerjasama strategik dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Cawangan Kulim. Inisiatif ini dijangka memberi impak positif dalam memperkasakan kesedaran kepentingan simpanan persaraan dan perancangan kewangan dalam kalangan pelajar serta kakitangan PTSB.
Dalam sesi kunjungan hormat yang diadakan di PTSB, delegasi KWSP diketuai oleh Ketua Cawangan KWSP Kulim, Puan Siti Aminah binti Mohammad Daud bersama pegawai KWSP, Puan Shamras Jannahtul binti Shamsut dan Puan Nurul Lida binti Harun. Sementara itu, PTSB diketuai oleh Pengarah, Haji Mohd Ruzi bin Hamzah bersama pengurusan tertinggi serta pegawai dari Corporate Industry Services and Employability Center (CISEC).
Fokus utama perbincangan adalah untuk membangunkan program berimpak tinggi yang melibatkan pelajar dan tenaga akademik dalam aspek perancangan kewangan serta manfaat keahlian KWSP. Antara inisiatif yang dirancang mencakupi sesi taklimat dan ceramah mengenai kepentingan simpanan persaraan, pengurusan kewangan bijak serta penganjuran program khidmat masyarakat yang melibatkan komuniti setempat.
Menurut Haji Mohd Ruzi, kerjasama ini selari dengan aspirasi PTSB dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga bersedia dari aspek pengurusan kewangan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“Pendedahan awal mengenai perancangan kewangan amat penting bagi membentuk graduan yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” ujarnya.
Tambah beliau, sesi perbincangan lanjut akan diadakan bagi memperincikan perancangan pelaksanaan program yang telah dicadangkan supaya dapat memberikan manfaat yang lebih menyeluruh kepada semua pihak terlibat.
Kunjungan hormat ini bukan sahaja memperkukuh hubungan strategik antara PTSB dan KWSP tetapi juga membuka ruang kepada lebih banyak program bermanfaat yang boleh dijalankan pada masa hadapan.
Diharapkan kolaborasi ini dapat memberi impak positif kepada pembangunan pelajar dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan literasi kewangan sebagai langkah ke arah kestabilan kewangan jangka panjang.