Wakil Pelajar PTSB Raih Naib Johan di Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa ke-9

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
25 November 2024
Akademik, Aktiviti Pelajar, Umum

Dua pelajar Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) mencipta sejarah apabila kumpulan mereka berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan video bertemakan “Kita Gempur” di Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa Kali ke-9, bertempat di UTM Hotel and Residence, Kuala Lumpur.

Kumpulan ini merupakan gabungan unik lima institusi pendidikan, termasuk IPGK Tun Hussein Onn (Johor), SMK Cherang Ruku (Kelantan), MSU College Sabah, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB).

Pertandingan ini menyaksikan 27 kumpulan daripada IPT seluruh Malaysia bersaing untuk menghasilkan video kreatif berkenaan kesedaran pengguna.

Menurut Nurin Alia binti Hasrizal, pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PTSB, pengalaman bekerja dalam kumpulan pelbagai latar belakang memberikan peluang kepadanya untuk bertukar pandangan dan mempelajari budaya kerja yang berbeza.

“Kami belajar untuk meraikan perbezaan pendapat dan bertoleransi antara satu sama lain dalam mencari kata sepakat secara harmoni sebagai satu pasukan. Ini adalah kekuatan kumpulan kami”, ujarnya lagi.

Manakala Nur Yusra Batrisyia yang juga Pembimbing Rakan Siswa PTSB menzahirkan kegembiraan kerana terpilih sebagai peserta program ini.

“Program ini menjadi platform untuk saya membina sahsiah diri dengan mengamalkan nilai-nilai moral yang beretika terutamanya ketika berkomunikasi dan berperanan dengan proaktif dalam kumpulan”, katanya.

Kemenangan ini bukan sahaja menjadi bukti keupayaan pelajar PTSB untuk bersaing di peringkat kebangsaan tetapi juga memperkukuhkan semangat kerjasama antara institusi. Tahniah kepada wakil PTSB atas pencapaian membanggakan ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti