
Arau, 12 Ogos 2025 – Pensyarah Teknologi Senibina Kolej Komuniti Arau, Wan Muhd Zakwan Wan Zin melakar sejarah apabila berjaya melepasi pertandingan Pra-Kelayakan WorldSkills Malaysia Pengajar (WSMP) dalam bidang Digital Construction baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan beliau mara sebagai Top 5 finalis ke Pertandingan Akhir WSMP 2025 bagi kategori Digital Construction. Lebih membanggakan, beliau merupakan satu-satunya wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang tersenarai dalam kelompok lima peserta terbaik tersebut.
Pertandingan ini dianjurkan sebagai platform utama untuk menguji kemahiran pensyarah dalam bidang Building Information Modelling. Selain itu, ia turut menitikberatkan kemahiran peserta dalam menggunakan perisian BIM untuk membangunkan model bangunan serta menghasilkan lukisan secara profesional.
Mengulas mengenai kejayaan ini, Wan Muhd Zakwan berkata, “Saya bersyukur kerana diberi peluang mewakili Kolej Komuniti Arau dan JPPKK ke peringkat akhir. Saingan pada peringkat pra-kelayakan sangat sengit dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan dorongan.”
Pengarah Kolej Komuniti Arau turut menyampaikan ucapan tahniah dan berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada warga pendidik lain. “Kejayaan Zakwan adalah bukti bahawa pensyarah Kolej Komuniti mempunyai kepakaran dan daya saing tinggi di peringkat kebangsaan,” katanya. Selain menyediakan medan persaingan sihat, pertandingan ini juga memberi peluang kepada peserta untuk menguasai kemahiran teknikal dalam penggunaan perisian seperti Autodesk Revit.
Pertandingan akhir WSMP 2025 dijadualkan berlangsung pada tahun hadapan dan bakal menghimpunkan peserta terbaik dari seluruh negara dalam pelbagai bidang kemahiran. Warga Kolej Komuniti Arau dan seluruh JPPKK mendoakan agar Wan Muhd Zakwan dipermudahkan urusan dan meraih kejayaan cemerlang pada peringkat akhir kelak.