Wan Umi Nafeesya Amna, pelajar POLIMAS cipta sejarah rangkul johan triple wanita VBC 2025

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
09 September 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA, Sukan

SUARA. TV

SKUDAI – Wan Umi Nafeesya Amna Wan Osmadi, pelajar Program Diploma Teknologi Maklumat (DIT 2A), Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) merangkul johan kategori Triple Wanita dalam Varsity Boules Championship (VBC) 2025 yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Arena Emas, dekat sini baru-baru ini.

Wan Umi Nafeesya Amna mewakili Pasukan Petanque Politeknik Malaysia di bawah seliaan Majlis Sukan Politeknik (MSP) membawa kejayaan yang membanggakan sekaligus mengangkat dan mengharumkan nama POLIMAS dan Politeknik Malaysia di peringkat kebangsaan.

Wan Umi Nafeesya Amna berkata, kemenangan ini menjadi momen terindah dalam perjalanannya sebagai atlet muda politeknik.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan, pensyarah, serta keluarga yang sentiasa memberi sokongan.

“Kemenangan ini bukan milik saya seorang, tetapi milik POLIMAS dan seluruh warga politeknik. Saya akan terus berusaha membawa nama POLIMAS ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dengan penuh semangat.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menzahirkan rasa bangga atas kejayaan yang dicapai.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar POLIMAS bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mampu menyerlah dalam sukan.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian ini, dan berharap ia menjadi pemangkin kepada pelajar lain untuk turut mengharumkan nama politeknik di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Pada masa yang sama, jurulatih Petanque POLIMAS, Zul Amalli Harun, menyifatkan kemenangan ini sebagai hasil kerja keras berpasukan dan latihan berterusan.

“Wan Umi Nafeesya Amna seorang atlet yang berdisiplin tinggi dan sentiasa berusaha gigih dalam setiap sesi latihan.

“Kemenangan ini adalah bukti bahawa komitmen, fokus, dan semangat juang tidak pernah mengkhianati hasil. Saya percaya beliau mampu melangkah lebih jauh lagi,” ujarnya.

Kejayaan ini bukan sahaja melakar sejarah buat POLIMAS, malah mengukuhkan kedudukan Politeknik Malaysia sebagai pencetus bakat muda sukan petanque di negara ini.

Pihak pengurusan POLIMAS yakin bahawa pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga pelajar untuk terus melakar kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.-SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti