Wujudkan taman industri hijau khas tumpu kenderaan elektrik

POLITEKNIK TUANKU SYED SIRAJUDDIN
31 July 2023
RENCANA

Pengumuman pelaburan Tesla Inc oleh kerajaan disambut baik pakar ekonomi tempatan kerana ia memberikan tumpuan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat penting pengeluar kereta elektrik di rantau ini.

Keputusan Tesla itu dikatakan akan menjadi pemangkin perubahan model ekonomi Malaysia daripada berasaskan buruh murah kepada modal insan berteknologi dan berkemahiran tinggi.

Ia juga selari idea menjadikan industri negara berkembang mampan berasaskan idea Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), sekali gus sejajar teras Malaysia MADANI bagi mewujudkan kesejahteraan ekonomi untuk kemakmuran rakyat dan negara.

Bagaimanapun, negara perlu mempersiapkan ekosistem rantaian bekalan agar selari dengan keperluan dikehendaki sesebuah industri pengeluar kereta elektrik.

Kesiapsiagaan negara dalam membangunkan ekosistem rantaian bekalan industri kereta elektrik akan membantu perkembangan mampan kepada industri terbabit, seterusnya memperkukuhkan peranan dan kepentingan negara sebagai hub pengeluar di rantau ini.

Ekosistem rantaian bekalan industri kereta elektrik memerlukan pembabitan pelbagai pemegang taruh daripada industri berkaitan dengan pengeluaran kenderaan serta institusi pendidikan tinggi (IPT),

Kewujudan dan keupayaan pengeluar bateri kereta, komponen kereta, tayar, penyedia pengecas bateri, pemasangan badan dan penyelenggaraan wajar dipersiapkan untuk membina ekosistem rantaian bekalan industri kereta elektrik berdaya saing, berkualiti serta berprestasi tinggi.

Penyedia pendidikan tinggi negara pula perlu melaksanakan peranan penting dan signifikan dalam menyediakan modal insan berkemahiran.

Persediaan ke arah mewujudkan ekosistem rantaian bekalan industri kereta elektrik akan membabitkan banyak aspek agar pertumbuhan industri dapat bersifat mampan.

Pindah pengetahuan dan teknologi

Pertama, ketersediaan industri dalam menyediakan infrastruktur, fasiliti dan penggunaan mesin berteknologi tinggi menyokong serta serasi dengan keperluan industri.

Pada masa sama, aktiviti perpindahan pengetahuan dan teknologi perlu digiatkan agar pelaksana industri tempatan bersedia menghadapi dan menguruskan keperluan pengeluar kereta elektrik.

Kedua, ketersediaan dari sudut modal insan berkemahiran dan berpengetahuan teknikal tinggi kerana membabitkan teknologi tinggi serta sofistikated.

Oleh itu, negara memerlukan modal insan berkemahiran teknikal tinggi untuk mengisi keperluan pasaran buruh bagi setiap komponen rantaian bekalan industri kereta elektrik.

Keperluan ini boleh dipenuhi melalui komitmen dan tindakan strategik rangkaian penyedia pendidikan tinggi negara seperti universiti, politeknik dan kolej komuniti mahupun institut kemahiran tinggi lain.

Penyedia perkhidmatan tinggi negara perlu memulakan pelan tindakan bersesuaian agar modal insan dikeluarkan mempunyai tahap kompetensi memenuhi keperluan dan kehendak industri.

Kerajaan juga disarankan mewujudkan satu hab ekonomi hijau dengan menjadikan pelaburan Tesla Inc sebagai pemangkin utama.

Inisiatif hab ekonomi hijau boleh dimulakan dengan mewujudkan satu taman industri memberikan tumpuan kepada syarikat dalam rantaian bekalan industri kereta elektrik untuk beroperasi.

Taman industri hijau perlu diurus sesuai dengan keperluan industri pengeluar kereta elektrik. Bagi jangka pendek, Tesla Inc wajar disasarkan sebagai syarikat terbabit dalam menggunakan kemudahan di taman industri hijau berkenaan.

Namun bagi jangka panjang, senarai sasaran perlu ditambah kepada syarikat pengeluar kereta elektrik lain. Ia antara industri hijau yang akan menjadi keutamaan kepada dunia pada masa hadapan.

Negara perlu bersedia dan teliti dalam mewujudkan rantaian bekalan industri kereta elektrik lengkap serta berdaya saing bagi memastikan negara mampu muncul sebagai hab industri bukan sahaja di rantau ini, bahkan global.

Penulis :

 

Dr. Yusrizal Sufardi Mohd Yunan
Pensyarah Kanan
Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin

Prof. Madya Dr. Mohd Helmi Ali
Timbalan Dekan (Penyelidikan & Inovasi) 
UKM-Graduates School of Business
Universiti Kebangsaan Malaysia

Artikel ini juga diterbitkan di:
Berita Harian, 19 Julai 2023

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti