
KULIM HI-TECH – Peroleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Chia Ree Yaa, 18 membuktikan bahawa laluan ke menara gading tidak semestinya tertumpu kepada universiti semata-mata apabila memilih Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) sebagai destinasi awal untuk menyambung pengajiannya dalam bidang Diploma Perakaunan.
Anak bongsu kepada Chia Ah Bee itu berkata, keputusan memilih PTSB merupakan satu langkah ke arah membina asas kukuh bagi mencapai cita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah.
“Saya percaya, kalau kita benar-benar mahu belajar, di mana pun tempatnya tidak menjadi halangan. Apa yang penting, kita ada matlamat yang jelas dan kesungguhan untuk berjaya,” ujar Ree Yaa yang merupakan bekas pelajar SMK Sungai Karangan, Kulim.
Menurutnya lagi, sokongan padu daripada keluarga terutamanya ibu menjadi tonggak utama yang mengukuhkan keyakinannya untuk memilih laluan TVET di PTSB.
“Saya sentiasa dapat dorongan daripada keluarga. Mereka tidak pernah bandingkan atau memperlekeh mana-mana institusi sebaliknya yakin dengan potensi saya untuk berjaya di mana sahaja saya berada,” tambahnya.
Ibunya, Bhuvaneswari a/p Jeyapalan, ketika ditemui berkata, kejayaan anak-anak bukan diukur pada jenama institusi semata-mata sebaliknya bergantung kepada tujuan asal dan komitmen mereka untuk belajar.
“Saya gembira dia pilih politeknik. Ayahnya juga merupakan graduan politeknik dan kami yakin kualiti pendidikan TVET hari ini sangat kompetitif serta relevan dengan keperluan industri,” katanya.
Lebih menarik, dua kakak Ree Yaa turut menunjukkan kecemerlangan akademik masing-masing. Chia Ree Yen kini mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) manakala Chia Ree Naa sedang melanjutkan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMP).
Kejayaan adik-beradik ini jelas membuktikan bahawa dengan sokongan moral daripada keluarga serta disiplin diri yang tinggi, pelajar mampu menyerlah tidak kira di mana mereka melanjutkan pengajian.
Ree Yaa turut berkongsi tip belajar yang diamalkannya, antaranya memberi sepenuh perhatian dalam kelas dan fokus setiap kali guru mengajar.
“Saya tak suka bertangguh. Kalau tak faham, saya terus tanya. Saya percaya, kejayaan tak datang sekelip mata, ia hasil usaha berterusan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai harapannya, Ree Yaa berharap pengalaman di PTSB dapat mematangkan dirinya dalam aspek akademik dan keperibadian diri sekali gus menjadi batu loncatan untuk melangkah lebih jauh dalam kerjaya perakaunan kelak.