
Langkawi, 1 November 2025 – Semangat juang, ketabahan dan disiplin sekali lagi terpamer apabila tiga pensyarah Kolej Komuniti Arau iaitu En. Mohammad Shahiran bin Salim, Ts. Mohamad Hafiz bin Abd Rahim dan En. Abd Muhsin bin Baharin berjaya menamatkan cabaran ekstrem Ironman 70.3 Langkawi 2025, salah satu kejohanan triathlon paling mencabar di dunia.
Acara yang menghimpunkan 1,888 atlet dari 66 negara itu menyaksikan para peserta menguji kekuatan fizikal dan mental melalui disiplin renangan, kayuhan dan larian dalam keadaan cuaca tropika yang panas serta laluan mencabar di pulau legenda tersebut.
Dalam pertandingan itu, En. Muhsin cemerlang menamatkan cabaran renangan sejauh 1.9 kilometer diikuti En. Shahiran yang berjaya menghabiskan kayuhan sejauh 90 kilometer manakala Ts. Hafiz pula menamatkan larian sejauh 21.1 kilometer dengan ketiga-tiga mereka mencatatkan masa keseluruhan 7 jam 30 minit.
Pencapaian gemilang ini bukan sahaja mengangkat nama Kolej Komuniti Arau di persada sukan lasak malah menjadi bukti ketekunan serta daya tahan tinggi yang turut diterapkan dalam proses pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar di kolej tersebut.
Pihak pengurusan kolej merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada ketiga-tiga pensyarah berkenaan atas usaha luar biasa yang telah membanggakan warga Kolej Komuniti Arau serta mencetuskan inspirasi kepada masyarakat setempat untuk terus mengejar kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi.
Kejayaan ini menjadi simbol bahawa dengan disiplin, komitmen dan semangat tidak berputus asa, tiada cabaran yang mustahil untuk diatasi.




