Shah Alam, 20 Mei 2024 – Zainah Rujihan dilantik sebagai Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berkuat kuasa 20 Mei 2024.
Berasal dari Batu Pahat, Johor, Zainah, 59 tahun, yang juga pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 33 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai guru di Sekolah Menengah Sri Istana, Klang.
Ibarat sirih pulang ke gagang, Zainah memulakan perkhimatan sebagai pensyarah di PSA pada tahun 1997 sebelum berpindah ke Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2007.
“PSA adalah institusi pertama saya berkhidmat dalam sektor TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),”
“Mari kita bergabung kekuatan, fokus kepada kecemerlangan PSA. Bersama-sama kita menjayakan misi TVET ini,” ujar beliau ketika mengadakan pertemuan bersama ahli mesyuarat pengurusan PSA di sini hari ini.
Zainah berkelulusan Sarjana Sains Pengurusan dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Industri dari Fairleigh Dickinson University, Amerika Syarikat serta memiliki Diploma Pendidikan (TESL) dari Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Kuala Langat, Kolej Komuniti Selayang dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebelum dilantik sebagai Pengarah Politeknik Banting, Selangor pada tahun 2021.
Kerusi pengarah PSA kosong apabila mantan pengarah, Dr. Norhayati Zakaria bersara wajib pada 3 September 2023. Dalam tempoh tersebut, Timbalan Pengarah Akademik, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman menjalankan tugas sebagai pengarah.