Zainah Rujihan pengarah PSA bersara wajib selepas 34 tahun berkhidmat

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
25 August 2025
Uncategorized

22 Ogos 2025, Shah Alam – Pengarah Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) Zainah Rujihan bersara wajib mulai hari ini selepas 34 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Zainah yang juga Pengerusi Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Kuala Langat, Kolej Komuniti Selayang, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta dilantik sebagai Pengarah Politeknik Banting pada tahun 2021, sebelum kembali ke PSA sebagai pengarah pada 20 Mei 2025.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dato’ Dr. Mohd Zahari Ismail menyifatkan persaraan Zainah sebagai kehilangan besar bagi institusi TVET negara.

“Di bawah kepimpinan beliau, pelbagai inisiatif dan pencapaian berjaya diraih sekali gus membawa JPPKK umumnya dan PSA khususnya ke tahap yang lebih tinggi,”

“Kepimpinan berwibawa dan keperibadian yang ditunjukkan menjadi teladan dan inspirasi bukan sahaja kepada warga PSA tetapi juga keluarga besar kita politeknik dan kolej komuniti.”

Sementara itu Timbalan Pengarah Akademik PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman berkata, di bawah kepimpinan Zainah, PSA semakin berkembang maju dan melakar pelbagai kejayaan yang membanggakan.

“Bagi kami, puan pengarah adalah seorang pemimpin yang jelas hala tujunya, sentiasa memberi bimbingan dalam membuat keputusan dan mendorong kami untuk mencapai yang terbaik.”

Antara pencapaian PSA di bawah kepimpinan Zainah termasuklah Anugerah POLYCC Berprestasi Tinggi Kategori Politeknik Premier/APACC, Finishing School Program Participation Award sempena Closing Ceremony Upskilling Grant for Medical Devices Industries dan memperoleh hampir RM400,000 Dana Trans-Tech 4TVET bagi Tahun 2025.

Terbaharu PSA meraih Platinum Award bagi elemen Expert Service dan Sapphire Award bagi Centre of Technology Terbaik sempena Anugerah Apresiasi, Industry Education Collaboration dan Juara Pertandingan Young Socialpreneur Program All Starz.

Lebih membanggakan, kadar kebolehpasaran graduan PSA juga melonjak kepada 99.5 peratus bagi tahun 2024 berbanding 96.1 peratus pada 2023.

Zainah berkelulusan Sarjana Sains Pengurusan dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Industri dari Fairleigh Dickinson University, Amerika Syarikat serta memiliki Diploma Pendidikan (TESL) dari Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini mula memasuki perkhidmatan awam pada 1 Ogos 1991 sebagai guru di Sekolah Menengah Sri Istana, Klang. Pada tahun 1997, Zainah memulakan perkhimatan sebagai pensyarah di PSA iaitu tahun PSA ditubuhkan.

Sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau, PSA mengadakan Majlis Sanjungan Budi: Rentak Citra Bangsawan, Lambaian Bakti Sang Srikandi dan sesi ‘çlock out’ di Dewan Al Jazari semalam.

Majlis bertemakan Bangsawan Moden Kontemporari itu menampilkan gimik persembahan “Sang Srikandi” menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) disusuli persembahan silat, alunan muzik cak lempong dan persembahan khas daripada warga PSA.

Zainah dalam ucapannya berkata, kejayaan bukan sekadar diukur kepada pencapaian semata-mata, sebaliknya terletak pada keberhasilan melahirkan graduan cemerlang dan pensyarah yang sentiasa bersemangat.

“PSA ini bukan sekadar bangunan dan program pengajian, tetapi ia adalah rumah kita, jiwa kita, dan masa depan anak bangsa!”

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti