1096 pelajar baharu daftar di POLIMAS, Jitra

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA

Jendelamadani.net, 4 Ogos 2024

Seramai 1096 pelajar baharu telah mendaftar di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Akademiknya, Dr Mhd Azmin Mat Seman berkata, para ibu bapa seharusnya berbangga memandangkan anak mereka ditawarkan belajar di POLIMAS yang sedia dikenali sebagai mudah mendapat kerja selepas bergraduat.

“Kebolehpasaran untuk mendapat kerja bagi tahun 2023 adalah tinggi iaitu 97 peratus,” katanya.

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa pihak industri sangat berminat dengan graduan yang dihasilkan oleh POLIMAS.

“Para pelajar seharusnya mengambil peluang ini dengan belajar bersungguh-sungguh dengan kelulusan yang cemerlang dan mendapatkan diploma dan seterusnya memasuki alam pekerjaan,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Ibubapa semasa Pendaftaran Pelajar Baharu.

PENINGKATAN YANG KETARA

Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar POLIMAS, Muhamad Nasir Zain kita berkata, pendaftaran Pelajar Baharu bagi Sesi ini menampakkan peningkatan yang ketara di mana sebelum ini hanya 960 mendaftar tapi kali ini melonjak kepada 1096 orang.

“Ini menunjukkan bahawa pelajar sudah menyedari bahawa belajar di politeknik memberikan kemahiran serta mampu relevan dengan pasaran pekerjaan,” katanya.

Katanya lagi bagi anak muda yang ingin cepat masuk ke alam pekerjaan maka pengajian ke politeknik adalah pilihan yang terbaik yang harus direbut.
 
Pole Yang Seng, bekas pelajar Kolej Komuniti Taiping ketika ditemui berkata, beliau memilih POLIMAS bagi mendapatkan diploma kerana kos pembelajaran di politeknik lebih murah berbanding dengan kolej dan universiti yang lain.

Ibu kepada Pole, Ang Lay Ling, berkata beliau memang menggalakkan anaknya belajar di politeknik kerana senang mendapat kerja dan kos pembelajaran murah dan tidak membebankan keluarga.

BERJAYA MEMASUKI POLITEKNIK
 
Seorang lagi pelajar yang ditemui, Rosya Aleya Fitriah Abdullah yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sharifah Rodziah, Alor Setar berkata, dia gembira kerana berjaya memasuki politeknik yang telah banyak membantu para pelajar mendapat pekerjaan.

Katanya politeknik merupakan satu institusi yang membuka peluang mendapatkan pekerjaan dengan mudah.
 
Diana Agam Abdullah pelajar Diploma Pemasaran berkata, perasaan gembiranga bercampur aduk dengan sedikit gementar apabila berpeluang belajar di POLIMAS.

Begitu juga Raasini bekas pelajar SMK Pengkalan Hulu, Perak turut berasa teruja dan gembira apabila dapat menyambung pelajaran ke POLIMAS. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti