
SUARA TV

JITRA – Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) tidak ketinggalan mengadakan Majlis Sambutan Ambang Merdeka dan Kibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan dan menggelorakan semangat patriotik dalam kalangan 2,133 warga kampusnya.
Pelbagai pengisian menarik diadakan dengan kerjasama Jabatan Sukan, Kokurikulum & Kebudayaan POLIMAS, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) POLIMAS, serta Jabatan Belia & Sukan Negeri (JBSN) Kedah di Padang dan Dewan Sri Mas, POLIMAS, dekat sini pada Isnin.
Program sehari ini dimulai dengan aktiviti senamrobik beramai-ramai yang dikendalikan oleh JBSN Kedah, diikuti dengan Fun Run mengelilingi kawasan POLIMAS yang disertai ratusan pelajar dan staf, sambil mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kebanggaan terhadap tanah air.
Selepas itu, acara menjadi semakin meriah dengan pertandingan kawad kaki antara jabatan yang dihiasi kreativiti berunsur patriotik, mempamerkan disiplin, kerjasama berpasukan serta semangat cintakan negara.
Kemuncak majlis adalah ucapan dasar oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, yang mengingatkan warga POLIMAS agar menghayati erti kemerdekaan sebenar.
Beliau menegaskan, kemerdekaan bukan sekadar laungan merdeka atau kibaran bendera semata-mata. Ia perlu dizahirkan melalui ilmu pengetahuan, sahsiah unggul dan kecemerlangan dalam semua bidang yang diceburi. Inilah amanah generasi muda untuk terus memacu negara ke arah kegemilangan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan deklamasi sajak kemerdekaan oleh pelajar POLIMAS, sekali gus menggamit suasana penuh semangat kebangsaan.
Sementara itu, Yang Dipertua JPP POLIMAS, Muhammad Luqmanul Hakim Mohamad Yazid berkata, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara dengan cara yang lebih bermakna.
“Kami berbangga kerana dapat bersama-sama menggerakkan aktiviti yang bukan sahaja menceriakan suasana kampus, tetapi juga mendidik generasi muda tentang nilai patriotisme yang sebenar,” katanya.
Wakil JBSN Kedah, Hanif Norhan, pula menegaskan bahawa penglibatan belia dalam program seumpama ini amat penting.
“Kita mahu melihat belia bukan sekadar penonton, tetapi penggerak utama dalam menyemarakkan semangat kebangsaan di mana sahaja mereka berada,” ujarnya.
Dalam pada itu, beberapa pelajar POLIMAS turut meluahkan rasa teruja mereka sepanjang menyertai program ini.
Nur Hazira Umairah Roslan berkata beliau berasa sangat bangga kerana dapat menyertai aktiviti yang mendekatkan dirinya dengan semangat perjuangan generasi terdahulu.
“Bila sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang, saya rasa seolah-olah berada dalam satu keluarga besar yang bersatu hati untuk negara,” katanya.
Luqmann Ul Hakeem Nasir pula menyifatkan pengalaman Fun Run sebagai sesuatu yang memberi inspirasi.
“Walaupun penat, tetapi rasa seronok dan puas kerana dapat bersama-sama rakan-rakan meraikan kemerdekaan negara dengan cara yang sihat dan meriah,” katanya.
Muhammad Safwan Salezam berkata penyertaannya dalam pertandingan kawad kaki memberi pengalaman berharga.
“Saya belajar tentang disiplin, kerja berpasukan dan dalam masa sama rasa cinta kepada negara semakin kuat bila melihat semangat semua peserta,” katanya.
Majlis diakhiri dengan acara cabutan bertuah untuk para pelajar yang hadir, sekali gus menambahkan keceriaan sambutan.
Penganjuran sambutan ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat patriotisme, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara pelajar, staf, pihak pengurusan POLIMAS serta agensi luar dalam suasana penuh harmoni dan kekeluargaan.-SUARA.TV