Future Hire 2026: Dari bilik kuliah ke dunia kerjaya dengan Teknologi AI

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
07 October 2026
Akademik, BERITA

SHAH ALAM, 5 Oktober 2026 – Unit Bahasa Inggeris, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) berjaya melaksanakan FutureHire 2026: AI-Powered Interview Bootcamp, sebuah program berimpak tinggi yang memperkasa pelajar Semester 5 dengan pengalaman praktikal menghadapi temu duga pekerjaan menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Bertemakan “From Classroom to Career”, program ini merupakan kolaborasi strategik antara PSA, Bahagian Peperiksaan dan Penilaian (BPN), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Interviewrr.AI Sdn. Bhd. Program ini memberi fokus kepada simulasi temu duga berasaskan AI, bimbingan industri, peningkatan keyakinan serta pengukuhan kemahiran komunikasi dan kesiapsiagaan kerjaya.

Program telah dirasmikan oleh Ts. Dr. Ahmad Aftas bin Azman, Timbalan Pengarah Akademik, PSA, dan turut disertai oleh Dr. Mohamad Kazar bin Razali, Timbalan Pengarah, BPN JPPKK. Sesi industri pula dikendalikan oleh Pn. Ratna Marliza binti Mokhtar, Chief Strategy Officer, Interviewrr.AI Sdn. Bhd., bersama En Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Interviewrr.AI Sdn. Bhd.

Pelajar Semester 5 daripada kelas DBK5A dan DPM5B telah mengambil bahagian dalam program ini. Melalui kursus DUE50132 – Communicative English 3, mereka berpeluang menjalani simulasi temu duga secara hands-on menggunakan platform Interviewrr.AI, menjawab soalan dalam masa nyata serta menerima maklum balas dan laporan prestasi serta-merta berkaitan kualiti jawapan, penyampaian, bahasa tubuh, keyakinan dan tahap kesiapsiagaan menghadapi temu duga.

Lebih istimewa, program ini turut dikendalikan oleh pelajar DEP3C di bawah bimbingan Dr. Parameswari Shunmugam, sekali gus memberi mereka pengalaman autentik dalam aspek komunikasi, kepimpinan, kerja berpasukan dan pengurusan program.

Kejayaan FutureHire 2026 membuktikan bahawa sinergi akademia, JPPKK dan industri mampu membawa pembelajaran melangkaui bilik kuliah serta melahirkan graduan yang lebih yakin, kompeten, celik teknologi dan bersedia menghadapi dunia kerjaya masa hadapan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti