Pensyarah utama PTSB perkukuh kepimpinan dan jaringan antarabangsa menerusi Wood Badge Advanced Experience 2026

POLITEKNIK TUANKU SULTANAH BAHIYAH
02 November 2026
Umum

PAHANG – Pensyarah Utama Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Ts. Dr. Mohd Syahrizad bin Elias yang juga merupakan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Kebangsaan, Persekutuan Pengakap Malaysia menyertai program Wood Badge Advanced Experience (International) 2026 yang berlangsung di IKAN Glampsite, Pahang, semalam.

Program bertaraf antarabangsa anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia ini menghimpunkan seramai 40 peserta dari sembilan buah negara, termasuk wakil daripada World Scout Bureau. Penyertaan pemimpin Pengakap daripada pelbagai latar belakang negara dan organisasi turut memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian pengalaman dalam pembangunan kepimpinan Pengakap di peringkat global.

Program ini merupakan kesinambungan latihan kepimpinan bagi peserta yang telah mengikuti Wood Badge Basic Course pada Ogos 2025 dan April 2026, dengan memberikan penekanan terhadap pembangunan kepimpinan strategik, tadbir urus organisasi, pengurusan, tanggungjawab kepimpinan serta pengukuhan nilai kesukarelawanan.

Berteraskan falsafah Learning by Doing yang diperkenalkan oleh pengasas Pergerakan Pengakap, Lord Baden-Powell, pelbagai aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman telah dilaksanakan bagi memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan dalam kalangan peserta.

Menurut Mohd Syahrizad, penyertaan dalam program ini memberikan peluang untuk memperluas perspektif kepimpinan melalui perkongsian amalan terbaik bersama pemimpin Pengakap daripada pelbagai latar belakang negara dan organisasi.

“Pembangunan kepimpinan bukan sekadar membimbing individu tetapi turut merangkumi keupayaan mengurus organisasi, membina pasukan, mengamalkan tadbir urus yang berkesan serta memastikan kesinambungan pembangunan generasi pemimpin masa hadapan.

Pengalaman tersebut amat relevan untuk diaplikasikan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersesuaian dengan matlamat Better Leaders for Better Scouting, tambahnya.”

Beliau turut menekankan bahawa konsep stewardship atau kepimpinan berteraskan amanah dan tanggungjawab merupakan antara elemen penting dalam memastikan sesebuah organisasi terus berkembang secara mampan di samping membudayakan nilai integriti, perkhidmatan dan kepimpinan melalui teladan.

Penyertaan beliau juga mencerminkan komitmen warga akademik PTSB terhadap pembangunan profesional berterusan, penglibatan dalam organisasi sukarela serta pengukuhan jaringan antarabangsa yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.

Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh melalui program ini diharapkan dapat dimanfaatkan dalam memperkukuh pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, pembangunan kemahiran insaniah serta penerapan nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar PTSB.

Penyertaan ini sekali gus memperlihatkan peranan aktif warga PTSB bukan sahaja dalam pembangunan pendidikan TVET, malah dalam menyumbang kepakaran dan kepimpinan kepada gerakan kesukarelawanan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti