Projek geran dana kajian sosial KPT perkasa keusahawanan inklusif OKU pendengaran di Sabah

POLITEKNIK KOTA KINABALU
10 September 2026
Umum

KOTA KINABALU – Projek Dana Kajian Sosial Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Bil. 1/2025 bertajuk “Ke Arah Keusahawanan Inklusif: Kajian Terhadap OKU Pendengaran di Pantai Barat Sabah” melabuhkan tirai pelaksanaannya menerusi sesi penyampaian Laporan dan Pelan Tindakan kepada Sabah Society for the Deaf (SSD), yang berlangsung di premis SSD, Bukit Padang, Kota Kinabalu.

Penyampaian tersebut menjadi simbolik kepada berakhirnya projek geran yang dilaksanakan selama 9 bulan, bermula 1 September 2025 hingga 1 Jun 2026, dengan peruntukan sebanyak RM33,800.00 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi.

Laporan dan Pelan Tindakan telah disampaikan oleh pasukan penyelidik kepada En. Liau Kee Siong, Presiden Sabah Society for the Deaf (SSD) sebagai wakil organisasi kolaborasi projek. Projek yang diketuai oleh Pn. Nur Angriani binti Nurja, pensyarah Jabatan Pengajian Am, Politeknik Kota Kinabalu, turut melibatkan Ts. Rabeah binti Md Zin (Politeknik Sultan Azlan Shah), Ts. Mohd Arami bin Md Jais (Kolej Komuniti Penampang), Pn. Noraini binti Lunchin (Politeknik Kota Kinabalu) dan Ts. Mohd Zulhasnan bin Mat (Politeknik Kota Kinabalu).

Pelaksanaan projek ini memberi tumpuan kepada usaha memahami dan memperkukuh peranan keusahawanan mikro sebagai salah satu alternatif dalam meningkatkan kestabilan ekonomi komuniti OKU pendengaran di Pantai Barat Sabah. Kajian turut mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh golongan tersebut, termasuk kekangan komunikasi, peluang pekerjaan yang terhad serta keperluan terhadap ekosistem sokongan keusahawanan yang lebih inklusif.

Melalui pendekatan penyelidikan yang dilaksanakan secara kolaboratif antara Politeknik Kota Kinabalu dan SSD, projek ini memberi penekanan kepada keperluan sebenar komuniti sasaran serta usaha membentuk cadangan sokongan yang bersesuaian. Antara fokus utama kajian adalah mengenal pasti cabaran dan halangan OKU pendengaran dalam keusahawanan mikro, menilai tahap kesediaan serta sokongan yang tersedia, dan mencadangkan bentuk sokongan yang dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi serta kesejahteraan hidup mereka.

Sepanjang tempoh pelaksanaan, projek ini melalui beberapa fasa utama merangkumi perancangan dan pembangunan instrumen, pengumpulan data melalui temu bual dan pemerhatian, penganalisisan data, pengesahan dapatan, penulisan laporan serta penghasilan cadangan intervensi dan penyebaran hasil kajian. Usaha ini turut melibatkan komuniti OKU pendengaran di kawasan Pantai Barat Sabah, khususnya Kota Kinabalu, Penampang dan Papar, dengan sasaran antara 15 hingga 20 orang peserta yang berumur antara 18 hingga 45 tahun.

Dari sudut impak, projek ini diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan jati diri dan keupayaan komuniti OKU pendengaran untuk berinteraksi secara lebih aktif dalam masyarakat melalui aktiviti perniagaan, di samping menyediakan maklumat yang berguna bagi pembangunan dasar sokongan keusahawanan yang lebih inklusif.

Kajian ini juga berpotensi memperkukuh rangkaian antara komuniti OKU pendengaran dengan agensi yang terlibat dalam pembangunan keusahawanan. Sesi penyampaian laporan dan pelan tindakan ini bukan sekadar menandakan penutupan rasmi sebuah projek penyelidikan, malah mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dalam menghubungkan penyelidikan, komuniti dan pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Kolaborasi strategik antara PKK dan SSD diharapkan dapat terus diperkukuh pada masa akan datang bagi membuka lebih banyak ruang kepada komuniti OKU pendengaran untuk mengembangkan potensi keusahawanan, meningkatkan kemandirian ekonomi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti