1476 Graduan Diraikan Pada Majlis Konvokesyen Ke-27 Politeknik Kota Kinabalu

UKK JPPKK
28 September 2023
Akademik, BERITA, Uncategorized

KOTA KINABALU, 5 MAC 2023 – Seramai 1476 graduan dalam bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal, Perdagangan serta Pelancongan dan Hospitaliti telah berjaya menamatkan pengajian dan menerima diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-27 Politeknik Kota Kinabalu (PKK), disini. Majlis telah diserikan dengan kehadiran Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail. 

Dalam ucapan pada majlis tersebut, beliau melahirkan rasa bangga atas pencapaian cemerlang graduan serta kegigihan dan iltizam untuk menamatkan pengajian dengan jayanya. Ujar beliau kejayaan yang dicapai oleh para graduan ini merupakan aset negara dalam mendepani cabaran Revolusi Industri (IR4.0) membabitkan teknologi automasi, komunikasi dan digital. 

Dr. Mohd Zahari turut menekankan bahawa graduan perlu tampil berani dan bijaksana dalam mendepani cabaran yang mendatang dengan tidak terlalu bersikap memilih pekerjaan, sebaliknya mampu bersaing dan sentiasa berupaya mencipta dan mempunyai nilai tambah yang diperlukan oleh majikan masa kini dan mempunyai keyakinan diri untuk menceburi bidang keusahawanan. 

Beliau berharap agar warga PKK akan terus komited dalam melaksanakan Transformasi Pendidikan Negara khusus ke arah mengarus perdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memastikan keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dapat dihasilkan. 

Para pensyarah juga wajar bersedia menghadapi perubahan dari segi kaedah bekerja dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak untuk menjayakan proses transformasi seterusnya menjadi ikon kepada pelajar yang merangkumi ciri-ciri holistik, keusahawanan dan pemikiran seimbang, nilai-nilai murni dan peri laku mulia selaras dengan teras pertama dalam Pelan Transformasi Perkhidmatan Awam yang menyentuh keupayaan bakat individu. 

Pada majlis ini, seramai dua (2) orang graduan dari Diploma Pengurusan Logistik dan Rangkaian Bekalan iaitu Alia Yasmin binti Sulhie dan Muhammad Zulainnor bin Zulkefli telah ditawarkan Biasiswa Yayasan PKT dari PKT Logistics Group Sdn. Bhd. masingmasing bernilai RM80,000 serta ditawarkan untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perniagaan Maritim dan Logistik di Peninsula College. 

Turut disampaikan pada majlis ini ialah Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Peringkat Diploma, Anugerah Khas Pertandingan, Anugerah Khas Industri, Anugerah Khas Sukarelawan dan Anugerah Pengarah yang dianugerahkan kepada para pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum secara menyeluruh. Turut disampaikan ialah Anugerah Khas Rakan Industri yang bertujuan mengangkat dan memberi pengiktirafan kepada industri khususnya di Negeri Sabah dan graduan PKK yang sedang bekerja dengan cemerlang di sektor industri.

Dr. Mohd Zahari (dua dari kanan) bersama penerima Biasiswa Yayasan PKT

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti