
SHAH ALAM, 25 SEPTEMBER 2026 –Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) hari ini menjadi tuan rumah kepada Beyond the Badges: EmpowerHer Leadership Workshop, sebuah platform pembangunan kepimpinan yang menghimpunkan seramai 250 peserta Pandu Puteri dari pelbagai daerah di Selangor dalam usaha memperkasa generasi muda dengan keyakinan, kemahiran dan keberanian untuk memimpin.
Beyond the Badges merupakan kesinambungan perjalanan pembangunan belia yang bermula di peringkat global melalui Global Youth Mobilization, sebelum berkembang melalui Kusafiri World Centre dan dibawa ke Malaysia melalui WAGGGS serta Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Daripada EmpowerHer 2025 di Rumah Pandu Puteri Selangor, inisiatif ini kini melangkah ke tahap baharu melalui Beyond the Badges dengan kerjasama Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) yang berasaskan kerangka The Duke of Edinburgh’s International Award, bagi memperkasa generasi muda dengan keyakinan, kemahiran dan kepimpinan.
Berbekalkan pengalaman dalam Pandu Puteri, Anugerah Pandu Puteri Raja dan Anugerah Remaja ARPRM peringkat Emas, para peserta kini bersedia melangkah ke ruang kepimpinan yang lebih luas dan menyumbang secara aktif kepada komuniti.
Melalui program ini, belia mendedahkan diri kepada pembangunan holistik merangkumi kemahiran, rekreasi fizikal, khidmat masyarakat dan pengembaraan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti interaktif, serta simulasi.
Pengarah PSA, YBrs. Tuan A. Azman bin Arshad, berkata pembangunan kepimpinan generasi muda tidak seharusnya terbatas kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum yang mampu membentuk jati diri, kemahiran insaniah dan semangat kerja berpasukan.
“Pada hari ini, kita bukan sekadar menghimpunkan 250 orang peserta di bawah satu program, tetapi sebenarnya kita sedang menghimpunkan 250 potensi, 250 suara dan 250 perjalanan kepimpinan. Setiap seorang mempunyai cerita, pengalaman dan kekuatan yang berbeza, Justeru, manfaatkan ruang ini untuk mengenali potensi diri, belajar daripada orang lain dan membina keyakinan untuk melangkah lebih jauh.” katanya.
Beliau berkata, penglibatan dalam badan beruniform seperti Pandu Puteri memberi peluang kepada golongan muda memperoleh pengalaman yang tidak dapat dipelajari sepenuhnya melalui pembelajaran formal, termasuk keberanian membuat keputusan, membina keyakinan diri, meningkatkan daya tahan serta berkomunikasi dengan berkesan.
Menurut beliau lagi, Beyond the Badges: EmpowerHer Leadership Workshop turut memberi penekanan kepada pembangunan wanita muda agar lebih yakin, berkemahiran dan berani mengambil peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Program seumpama ini menyediakan ruang kepada peserta untuk mengenali potensi diri, membina jaringan hubungan dan memperkukuh keupayaan dalam memimpin.
Program ini turut mencerminkan kekuatan sinergi dan kolaborasi antara Persatuan Pandu Puteri Malaysia, ARPRM, institusi pendidikan serta rakan-rakan strategik dalam membangunkan modal insan berkualiti. Kerjasama ini juga selari dengan semangat Sustainable Development Goal (SDG) 17 – Partnerships for the Goals, yang menekankan kepentingan perkongsian strategik dalam mencapai matlamat pembangunan yang lebih besar.
Lebih daripada sekadar sebuah bengkel kepimpinan, program ini diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada peserta untuk membawa pulang keyakinan yang baharu, keberanian yang lebih besar serta semangat untuk mengambil peluang kepimpinan yang lebih luas.
Selaras dengan hasrat tersebut, para peserta turut didorong untuk menterjemahkan ilmu kepada tindakan, mengembangkan potensi kepada pencapaian, menyerlahkan keyakinan melalui kepimpinan serta menjadikan pengalaman yang diperoleh sebagai impak yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Program ini sekali gus memperlihatkan komitmen PSA dalam menyokong pembangunan generasi muda yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, malah memiliki sahsiah, integriti, keyakinan serta kesediaan untuk memimpin dan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Mengakhiri ucapan, Pengarah PSA menyeru semua peserta agar terus memanfaatkan pengalaman yang diperoleh dan menjadikannya sebagai pemangkin untuk melangkah lebih jauh dalam perjalanan kepimpinan mereka.
Majlis dirasmikan oleh YBhg. Puan Aisah binti Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya Cawangan Selangor, Persatuan Pandu Puteri Malaysia (KPC). Program yang berlangsung di Dewan Al-Jazari, PSA ini menyediakan ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, meneroka potensi diri serta membina keyakinan melalui pengalaman pembelajaran yang melangkaui bilik kuliah.

