30 pelajar POLIMAS santuni komuniti sambut Tahun Baharu Cina di Telok Chengai

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
22 February 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA

Jendela Madani 15 Feb 2026

Seramai 30 pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) berkerjasama dengan Masjid Al-Ummah, Telok Chengai menganjurkan Program Santuni Masyarakat – Memperkukuh Keharmonian dan Perpaduan Kaum sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.

Ia melibatkan pelajar kelas Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan pelajar Diploma Ukur Bahan, Jabatan Kejuruteraan Awam yang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban.

Program tersebut dilaksanakan di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, Ustaz Mohd Nazimi Zaim Ismail, yang turut bertindak sebagai penasihat pelajar.

Pada program berkenaan para pelajar turun padang ke beberapa taman perumahan sekitar kariah Masjid Al-Ummah, Telok Chengai bagi mengedar buah limau tajaan masjid berkenaan sebagai menghormati masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina tak lama lagi.

BERSIFAT MESRA KOMUNITI

Pendekatan yang diambil bersifat mesra komuniti untuk memberi pelajaran kepada pelajar dengan menekankan budaya hormat menghormati, toleransi serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Beliau berkata penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini menjadi platform terbaik untuk menterjemahkan teori penghayatan
etika dan peradaban kepada amalan sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.

“Program ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya satu proses pembelajaran secara langsung yang membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial serta kefahamanmendalam terhadap realiti masyarakat majmuk negara kita,” jelasnya.

MEMBUKA PERSPEKTIF BAHARU

Wakil pelajar, Muhammad Afiq Mohd Haizul, menyifatkan pengalaman tersebut amat bermakna dan membuka perspektif baharu kepada peserta.

“Interaksi secara langsung dengan masyarakat pelbagai kaum memberi kami peluang memahami budaya dan cara hidup komuniti dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata ia sekali gus memupuk semangat kesukarelawan dan mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda.

KEPADA PIHAK POLIMAS

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Wan Nordin  Wan Daud, merakamkan penghargaan kepada pihak POLIMAS, pensyarah serta para pelajar atas komitmen yang ditunjukkan.

Beliau menegaskan bahawa program seumpama ini selari dengan peranan masjid sebagai institusi yang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah pusat penyatuan ummah dan masyarakat. Program seperti ini sangat signifikan dalam
memperkukuj keharmonian sosial di peringkat akar umbi,” ujarnya. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti