19 Februari 2023 , Hulu Terengganu -Seramai 27 orang pelajar dan 8 orang pensyarah dari Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH), Politeknik Hulu Terengganu (PHT) telah terlibat pada program Kempen Kesedaran Hidupan Liar bertempat di Dewan Komuniti, Kampung Basung, disini dan dianjurkan oleh Pertubuhan Explore GAIA Enterprise (Exploregaia) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berteraskan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar.
Ketika program ini, seramai 27 orang pelajar JPH PHT tersebut telah terlibat sebagai sukarelawan dalam melakukan soal selidik terhadap penduduk kampung termasuk Kampung Basung, Kampung Padang Setebu dan Kampung Pasir Dula di daerah Hulu Terengganu. Melalui aktiviti ini, para pelajar didedahkan dengan kemahiran melakukan soal selidik serta memahami kepentingannya dalam menyumbang kepada keberkesanan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar.
Antara pihak lain yang terlibat pada kempen ini ialah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN). Kemudian, warga JPH PHT serta penduduk di Kampung Basung telah mengikuti ceramah asas penggunaan walkie-talkie ketika situasi kecemasan. Tidak ketinggalan, PHT telah melakukan promosi “Jom Masuk Poli” dengan membuka booth di sekitar Dewan Komuniti dalam memberi pendedahan tentang Politeknik Hulu Terengganu kepada warga di sekitar daerah Hulu Terengganu.
Penglibatan sukarelawan rekreasi pelajar terhadap aktiviti konservasi seumpama ini memberi input dan maklumat yang amat penting dalam memastikan kesinambungan pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan liar pada masa hadapan. Selain itu, program ini telah memberi kemahiran yang penting kepada para pelajar tentang kaedah melakukan kaji selidik serta kesukarelawanan rekreasi. Semoga kerjasama yang telah terjalin di antara Politeknik Hulu Terengganu dan Pertubuhan Explore GAIA Enterprise (Exploregaia) akan terus terjalin dalam aktiviti konservasi hidupan liar.
/*! elementor - v3.11.5 - 14-03-2023 */
Sekitar kempen yang sedang berlangsung bersama warga penduduk di sekitar daerah Hulu Terengganu
Para sukarelawan pelajar dari JPH PHT sedang melakukan soal selidik bersama komuniti di Kampung Basung, Hulu Terengganu.