PolyCCSkills 2025 himpunkan lebih 700 pelajar berbakat dari seluruh negara

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
23 September 2025
Aktiviti Pelajar, BERITA

JENDELA MADANI

Tirai Pertandingan Kemahiran Pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (PolyCCSkills) 2025 melabuhkan penutupnya dengan penuh meriah di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah.

Acara empat hari bermula 8 September ini menghimpunkan lebih 700 pelajar berbakat dari seluruh negara yang bersaing dalam 41 bidang kemahiran merangkumi Kejuruteraan, Teknologi serta Sains Sosial & Perkhidmatan.

Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Shamsuri Abdullah yang mewakili Ketua Pengarah JPPKK, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail.

Dalam ucapannya, Dr. Shamsuri menegaskan bahawa PolyCCSkills adalah platform penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang seiring keperluan industri.

MEDAN MENGGILAP BAKAT

“PolyCCSkills bukan hanya pertandingan. Ia adalah medan menggilap bakat, menanam keyakinan serta membina jati diri.

“Ingatlah, kemahiran adalah aset paling berharga untuk membina Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut menegaskan, penganjuran ini menjadi batu loncatan kepada peserta menuju PraWorldSkills Malaysia, seterusnya ke pentas antarabangsa.

BERJAYA MENGGEMBLENG TENAGA

Sebagai tuan rumah, POLIMAS bersama 10 institusi Zon Kedah dan Perlis berjaya menggembleng tenaga bagi memastikan kelancaran acara.
 
Lebih membanggakan, POLIMAS sendiri meraih lima pingat dalam pertandingan ini.

Pingat Emas diperoleh menerusi acara “Cabinet Making” oleh Muhammad Naqib Mohd Nizam,
Pingat Perak dari acara “Carpentry” oleh Muhammad Syimi Iffat  Mohd Suhaizam dan acara “Agro” oleh
Mohamad Zairul Fitrie  Zainol Abidin.

KEMENANGAN PINGAT GANGSA

Manakala kemenangan Pingat Gangsa pula dari acara “Mechatronic” oleh Muhammad Syahmi Irwan Soriman dan Ameer Mujahid  Abdul Hamid, acara “Drone Technology” oleh Muhammad Nur Haikal Mohd Nor Shahwal dan Abdul Gaffar Jabbar.

Kejayaan ini mengangkat nama POLIMAS sebagai antara peneraju kecemerlangan TVET Malaysia.

Penilaian dijalankan secara telusmengikut standard global dengan menitikberatkanketepatan teknikal, kreativiti, keselamatan dan kemahiran komunikasi.

Dalam Majlis Penutup ini juga turut menobatkan tiga pelajar terbaik dalam anugerah utama iaitu Jari Emas yang dimenangi oleh Nurul Atika Shira Masiran dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Minda Emas pula dimenangai oleh Mohamad Haris Ikhwan Muhamat Zawal dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Perlis dan Tangan Emas pula dijulang oleh Muhammad Adam Haqimi Othman dari Kolej Komuniti Bandar Baharu, Kedah.

PESERTA SEBAGAI DUTA

Azirin Abdul Aziz, Pengarah Bahagian Ambilandan Pembangunan Pelajar JPPKK yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, menyifatkan setiap peserta sebagai duta TVET Malaysia.

“Anda semua bukan sekadar peserta, tetapi wajah baharu TVET Malaysia. Pengalaman di sini adalah modal insan paling berharga yang tidak ternilai dengan wang ringgit,” katanya.

Penganjuran PolyCCSkills 2025 selari dengan Dasar TVET Negara 2030, yang menekankan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, inklusif dan fleksibel.

Lebih 700 peserta bukan sahaja memperlihatkan kebolehan teknikal, malahnilai murni seperti kerjasama, kepimpinan dan daya juang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

PolyCCSkills 2025 membuktikan bahawa TVET adalah laluan utama, bukan pilihan kedua.

Dengan kejayaan POLIMAS sebagai penganjur dan pemenang, pertandingan ini membuka lembaran baharu untuk generasi muda TVET terus mencipta kejayaan di pentas dunia. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti