700 peserta sertai STE-FEST 2025

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
12 March 2026
BERITA, Penyelidikan dan Inovasi

KUANTAN, 9 Oktober 2025 – Seramai 700 peserta daripada 86 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan 29 buah sekolah menengah seluruh Malaysia menyertai program Sustainability, Science, Technology and Entrepreneurship Festival 2025 (STE-FEST 2025) yang julung-julung kali diadakan di negeri Pahang. Festival ini juga diadakan bersempena dengan Festival of Idea (FOI) negeri Pahang.

Majlis Perasmian Penutup dan pengumuman pemenang disempurnakan oleh Pengarah Urusan Binaan Desjaya Sdn. Bhd. yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Dato’ Haji Abdul Rahman Daud, bertempat di Dewan Sri Mahkota, POLISAS.

Dalam ucapannya beliau berkata, antara kepentingan inovasi dalam institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah untuk melahirkan pelajar dan tenaga kerja yang mahir serta inovatif yang bukan sahaja berkemahiran tetapi juga mampu mencipta inovasi dalam bidang masing-masing yang mana ianya penting untuk daya saing industri.

“Melalui inovasi, kaedah dan teknologi baru diperkenalkan untuk mengatasi cabaran dan masalah teknikal yang dihadapi dalam sektor industri.

Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kualiti pengajaran yang mana penerapan inovasi dapat menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran di institusi TVET lebih efektif, menarik, dan relevan dengan perkembangan terkini”, ujar beliau.

Tambah beliau lagi, inovasi dalam sektor TVET berupaya memacu pembangunan dalam sektor industri malah menjadikan inovasi dalam TVET secara langsung menyumbang kepada kemajuan dan daya saing sektor industri negara melalui pembangunan teknologi dan proses kerja yang lebih efisien.

STE-FEST 2025 merupakan anjuran bersama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Pusat Penyelidikan Bandar Pintar dan Mampan (SUTRA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolej Komuniti Kuantan (KKKUA) dengan kerjasama daripada Malaysia Board of Technologists (MBOT), Guangxi Polytechnic of Construction (GXPC), China, Politeknik Negeri Jakarta (PNJ), Indonesia, Universiti PGRI Madiun (UNIPMA), Indonesia, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Brunei, serta Institute of Brunei Technical Education (IBTE), Brunei.

Festival ini merupakan gabungan lima program utama iaitu Smart Technology & Sustainability International Conference (STSIC 2025), Bridge Innovation Challenge (BIC’25), CubixSphere 2025 dan keusahawananyang berlangsung bermula 6 sehingga 9 Oktober 2025 serta siri webinar Artificial Intelligence (AI) yang telah berlangsung pada Mei dan Julai lalu.

STSIC 2025 merupakan persidangan antarabangsa yang pertama kali dianjurkan di POLISAS untuk berkongsi hasil penyelidikan dan inovasi dalam bidang pembangunan lestari. Program ini mempertemukan para penyelidik, pelajar dan pensyarah untuk membentangkan teknologi pintar dan aplikasi terkini dalam usaha mencapai pembangunan mampan. Selain itu, sesi perkongsian ilmu melalui key-note speaker daripada pakar-pakar luar negara seperti China, Indonesia dan Brunei.

POLISAS telah diumumkan sebagai Johan keseluruhan bagi pembentangan STSIC 2025 menerusi Pensyarah Jabatan Perdagangan, Nor Lailihuda Ismail dengan tajuk pembentangan ‘ Motivasi Keusahawanan Pelajar : Kajian Terhadap Pengaruh Kecekapan Diri dan Sokongan Sosial’.

BIC’25 pula merupakan pertandingan yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan prinsip asas kejuruteraan awam dalam reka bentuk dan pembinaan struktur jambatan dengan bahan terhad. Melalui pertandingan ini, peserta berpeluang mengasah kemahiran penyelesaian masalah, berfikir secara kreatif, serta mengukuhkan semangat kerjasama dan komunikasi dalam pasukan.

Pertandingan ini telah menobatkan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kedah sebagai Johan bagi Pembinaan Jambatan Terbaik (Kategori IPT) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Terengganu bagi Pembinaan Jambatan Terbaik (Kategori sekolah menengah).

Bagi Model Jambatan Terbaik (kategori IPT dan sekolah menengah) pula menyaksikan Politeknik Ungku Omar (PUO), Perak dan SMK Padang Midin, Terengganu diumumkan sebagai Johan.

Pertandingan CubixSphere 2025 mengintegrasikan Technology Enable Collaborative Classrooms (TeCC 3.0) atau DigitalCUBIX sebagai platform utama untuk menyokong projek-projek pelajar. Melalui pertandingan ini, peserta daripada pelbagai disiplin menggunakan teknologi DigitalCUBIX untuk merancang, melaksana dan menilai projek mereka secara sistematik, seterusnya menghasilkan penyelesaian inovatif. Pertandingan ini melibatkan pelajar daripada politeknik yang mempunyai TeCC 3.0 sahaja iaitu POLISAS, Politeknik Seberang Perai (PSP) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).

Pertandingan ini telah mengangkat PKK sebagai Johan pertandingan CubixSphere 2025 menerusi projek ‘Terratech’.

Aktiviti keusahawanan, Siswapreneur Showcase “Havoc Hustle Fest” turut dijalankan sepanjang festival tersebut melibatkan pelajar yang mengikuti kursus keusahawanan. Para pelajar didedahkan kepada proses merancang serta melaksanakan perniagaan bagi memperoleh pengalaman sebenar dalam bidang keusahawanan.

STE-FEST 2025 yang bertemakan “Sains dan Teknologi ke Arah Pembangunan Mampan” ini berperanan sebagai platform penyampaian idea, inovasi, serta penyelidikan dalam bidang sains, teknologi dan keusahawanan, terutamanya untuk memperkukuhkan pembangunan mampan.

Festival ini bukan sahaja menggalakkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pelajar dan pensyarah, tetapi turut menjadi medan bagi merintis kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dan agensi-agensi antarabangsa, tetapi turut melahirkan generasi yang bukan hanya berpengetahuan bahkan berkemampuan untuk menyumbang kepada pembangunan mampan global.

Pada majlis yang sama turut diadakan penyampaian sijil penghargaan kepada empat kumpulan penyelidik POLISAS yang melaksanakan dana penyelidikan bagi projek Penyelidikan, Inovasi dan Pengkomersialan (Geran Transfer Technology 4TVET) tahun 2024 melibatkan projek loT-Based Compact Mushroom Cultivation System (CMCS) Powered by Solar Energy, Deoiling Machine, Smart Mushroom Farming (iMushroom) dan Halal Guide @ POLISAS.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti