81 sertai Halatuju Pendidikan POLYCC Bersama Guru Bimbingan Kaunseling Kedah

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
BERITA

Jendelamadani.net, 27 Ogos 2024

Seramai 81 peserta mengikuti Program Halatuju Pendidikan POLYCC Bersama Guru Bimbingan Kaunseling Negeri Kedah Zon Utara 2024 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) Jitra, Kedah.

Timbalan Pengarah POLIMAS, Dr Mhd. Azmin Mat Seman, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua Guru Bimbingan dan Kaunseling tentang peluang pembelajaran dalam bidang TVET diPOLYCC.

Di samping itu katanya, mereka juga turut didedahkan dengan perkembangan teknologi serta kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan masa kini.

“Usaha ini selaras dengan matlamat negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dan kompetitif juga peluang kerjaya yang luas dalam TVET,” katanya pada ucapan alu-aluan program ini.

OBJEKTIF UTAMA PROGRAM

Dr Mhd. Azmin berkata, objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran guru-guru berhubung peluang belajar bidang TVET yang sangat meluas pada masa kini untuk didedahkan kepada pelajar-pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan juga Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Katanya, program yang diadakan ini diharapkan akan memberikan penjelasan yang lebih lengkap kepada guru-guru mengenai syarat-syarat kemasukan belajar ke POLYCC ini juga peluang-peluang pekerjaaan yang disediakan untuk lulusan TVET.

“Pihak POLYCC memerlukan kerjasama guru-guru untuk mendapatkan lebih ramai pelajar memilih bidang TVET bagi memenuhi keperluan tenaga pekerja dari pihak industri,” katanya.

Manakala Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Mohd Kamal Hashim dalam ucapan perasmiannya berkata, guru-guru perlu memainkan peranan mewar-warkan kepada semua pelajar tentang kebaikan belajar dalam bidang TVET kerana ia lebih menumpukan kepada latihan praktikal ke arah kemahiran dalam pembelajaran dan peluang kerja yang sangat meluas setelah tamat belajar nanti.
 
Tambahnya, guru-guru seharusnya membantu membekalkan kepada pihak POLYCC dengan menyediakan pelajar memasuki POLYCC.

PENTING KEPADA NEGARA

“Ini penting kepada negara kerana pelajar yang kita bekalkan akan dilatih oleh pihak POLYCC untuk bagi tujuan tenaga kerja kepada industri yang bertujuan untuk memperkembangkan ekonomi negara ke arah yang mampan,” katanya.
 
Katanya lagi, satu yang membimbangkan apabila selepas SPM, mereka akan menjadi kutu rayau kerana tidak bekerja dan menghabiskan masa tanpa berfaedah.

“Sepatutnya kita perlu menggalak mereka untuk belajar untuk menjadi orang yang berguna kepada bangsa dan negara, sokongan guru-guru,” katanya ketika berucap merasmikan program ini.
 
Sementara itu, Guru Bimbingan dan Kaunseling dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Kedah, Nor’aza Ismail berkata, program ini adalah terbaik kerana beliau mendapat maklumat lengkap tentang syarat kelayakan kemasukan belajar ke POLYCC di mana nanti boleh kongsikan dengan pelajarnya.

Siti Sarah Abdullah dari SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman berkata, program yang diadakan ini sangat baik dan berkesan kerana mendedahkan kepada guru mengenai peluang dan bidang pembelajaran yang di POLYCC yang sebelum ini tidak mengetahui secara sepenuhnya tentang sesuatu bidang TVET yang ditawarkan.
 
Sementara itu, sesi taklimat bagi pihak Politeknik telah disampaikan oleh Pensyarah Utama Mohd Lutfi Mohd Khidir manakala bagi pihak Kolej Komuniti disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pengambilan Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Fazlan Amini Zulkifly.

Antara tetamu yang turut hadir dalam program yang diadakan ini ialah Pengarah Kolej Komuniti Bandar Darulaman, Salmah Ijam, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya, Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Abdul Rahman Mansor  dan Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Ismajulian Ismail dari Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pengarah Kolej Komuniti lain dari seluruh Negeri Kedah.  – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti