98 pelajar POLIMAS berjaya tamat Kursus Repalman Siri 1/2026

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
29 June 2026
Aktiviti Pelajar, BERITA

Seramai 98 penuntut berjaya membuktikan keupayaan luar biasa apabila menamatkan Kursus Repalman Siri 1/2026 dengan jayanya di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) baru-baru ini.

Kursus peningkatan lanjutan yang berlangsung dari 15 hingga 28 Mei 2026 lalu bertujuan membentuk jati diri, disiplin tinggi, serta memantapkan kemahiran ketenteraan asas selepas para peserta tamat Kursus Asas Perajurit Muda.

Sepanjang dua minggu latihan intensif, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul yang mencabar keupayaan maksimum mereka seperti kawad tongkat, pengendalian senjata, latihan medan dan aktiviti sukan.
 
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Komander Rejimen 513 Askar Wataniah (AW), Lt Kol Mohd Fauzan Abdul Ghafar, bersama wakil Pengarah POLIMAS, Zainuddin Jaafar.

KEPENTINGAN KESINAMBUNGAN DISIPLIN

Dalam ucapannya, Mohd Fauzan menegaskan kepentingan kesinambungan disiplin kenteteraan dalam kehidupan harian para penuntut.

“Segala ilmu, taktikal, dan nilai kepimpinan yang digarap sepanjang dua minggu ini bukan sekadar untuk kursus ini sahaja. Saya mahu setiap penutut memanfaatkan sepenuhnya pengalaman ini untuk membentuk keperibadian yang kental, berintegriti, dan sentiasa bersedia berbakti kepada nusa dan bangsa,” ujar beliau.
 
Sementara itu, wakil Pengarah POLIMAS, Zainuddin Jaafar, Ketua Unit CISEC (Corporate Industrial Services and Employability Centre) menzahirkan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh institusi dan para pelajar dalam menjayakan program kolaborasi ini.

MENYOKONG PENUH PROGRAM

“Pihak POLIMAS sentiasa menyokong penuh program yang memperkasakan sahsiah pelajar. Keberhasilan 98 penuntut ini membuktikan bahawa mahasiswa kita bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan teknikal, malah mempunyai ketahanan mental serta disiplin acuan ketenteraan yang amat tinggi,” kata beliau.
 
Suasana majlis turut diserikan dengan upacara pemakaian pangkat daripada Perajurit Muda (PBT) kepada Laskar Korporal (LKPL) bagi penuntut yang layak.

Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada empat penuntut cemerlang.

SEBAGAI PEMBAKAR SEMANGAT

Penerima Anugerah Keseluruhan Terbaik 6305571 LKPL Mohamad Sabri Firdaus Md Saupian, meluahkan rasa syukur dan menyifatkan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk terus maju.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama rakan-rakan sepasukan dan bimbingan tanpa jemu para jurulatih.

Anugerah ini menaikkan lagi azam saya untuk memikul tanggungjawab baharu sebagai LKPL dengan penuh amanah dan mengekalkan mutu disiplin terbaik,” katanya dengan penuh bersemangat.

Tiga lagi penerima anugerah khas yang turut mencuri tumpuan ialah:
Akademik Terbaik: 6311139 PBT Kahyeesah Hayrul; Kawad Terbaik: 6305545 LKPL Muhammad Aidil Faris Rashidi Sabri dan Jasmani Terbaik: 6311152 PBT R. Theiviegan.
 
Majlis ditutup dengan penuh semangat patriotik meninggalkan impak mendalam buat seluruh warga Rejimen 513 AW dan POLIMAS dalam melahirkan generasi pelapis negara yang berwibawa. – JM

sumber jendelamadani.net

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti