Keratan Akhbar : KKBDA Diiktiraf Kolej Komuniti Terbaik AKKPT 2023

KOLEJ KOMUNITI BANDAR DARULAMAN
12 March 2024
Lain-Lain

Malaysia Aktif, 9 Mac 2024

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Kolej Komuniti Bandar Darulaman (KKBDA) membuktikan bahawa institusi ini merupakan salah satu penyedia utama kepada komuniti bagi meningkatkan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkini dalam bidang keusahawanan.

Menyahut saranan dan mempergiat aktiviti keusahawanan di institusi, KKBDA berjaya diiktiraf Anugerah Institusi Kolej Komuniti Terbaik sempena Majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi 2023 (AKKPT) 2023 yang berlangsung semalam.

Kali terakhir KKBDA bersaing di pentas ini sebagai finalis ialah pada tahun 2016 dan 2018.

Pengarah KKBDA Salmah Ijam dalam ucapannya, berkata Kolej Komuniti terbukti menjadi peneraju institusi TVET yang unggul dan berjaya melahirkan komuniti yang berjiwa keusahawanan.

“Peserta kursus yang terdiri daripada pelbagai peringkat dan menyertai program keusahawanan KKBDA ini dilihat mampu menjana pendapatan lebih besar jika terus konsisten mengikuti latihan dan kemahiran yang disediakan.

“Dengan kemudahan dan peluang yang ditawarkan kepada komuniti, diharap ia terus mencetus suntikan semangat kepada peserta untuk menambahkan ilmu dan lebih kreatif serta cemerlang dalam bidang yang diceburi,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan kejayaan hebat ini semoga dapat membantu lebih ramai komuniti mempelajari kemahiran TVET dan keusahawanan selari hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperhebatkan lagi sektor pendidikan tinggi negara supaya hala tuju dan usaha meningkatkan keterlihatannya di peringkat global dapat direalisasikan dengan jayanya

KKBDA yang membawa pulang RM120 ribu dan trofi menerima anugerah ini yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Pastinya, kemenangan ini sangat bermakna kepada seluruh warga KKBDA.

Anugerah ini adalah platform pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, selain meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti