Lebih 3000 pengunjung hadiri SUKSES 2024

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
18 July 2024
Akademik

11 Jun 2024, Kuantan – Seramai 3394 pengunjung dan 110 buah sekolah direkodkan pada penganjuran Karnival Pendidikan Kerjaya Murid (SUKSES) 2024 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung selama dua hari bermula 10 Jun 2024.

Program yang berlangsung di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) ini merupakan anjuran Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti (JPPKK), Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) , EISH Aghnia Global Resources (EAGR) dan POLISAS.

Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim dalam ucapannya berkata, POLISAS diberikan kepercayaan sekali lagi apabila terpilih untuk menjadi penganjur bersama untuk kali kedua bagi penganjuran SUKSES peringkat negeri Pahang kali ini.

“Kami amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada POLISAS untuk bersama-sama menganjurkan SUKSES pada tahun ini.

“ Penganjuran program ini bertujuan untuk mempromosi dan menyebar luas maklumat terkini mengenai peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan oleh semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) serta Sekolah Khusus kepada masyarakat setempat khususnya kepada para pelajar, guru dan ibu bapa yang berkonsepkan one stop center ”, katanya.

Antara pengisian program adalah pameran pendidikan daripada IPTA dan IPTS, promosi kemasukan ke Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC), pameran dari Sekolah Khusus, gerai jualan serta lawatan ke bengkel dan makmal Jabatan-Jabatan Akademik POLISAS.

Majlis perasmian SUKSES 2024 Peringkat Negeri Pahang ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Abdul Hisan Ibrahim.

Hadir sama adalah Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLISAS, Azad Muslim Muhammad serta Yang Dipertua MGKK, Mohd Ropizam Mohamad Zainun.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti