Penjawat awam cemerlang pemangkin aspirasi Malaysia Madani

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
15 July 2024
Umum

Shah Alam, 25 Jun 2024 – Penjawat awam tidak boleh kekal selesa pada sesuatu tahap pencapaian sebaliknya perlu berani berhadapan dan menangani perubahan khususnya dalam persekitaran yang semakin mencabar.

Mereka juga perlu memberi perkhidmatan yang berkualiti, efektif dan berintegiriti seterusnya merealisasikan Malaysia Madani seperti yang diaspirasikan.

Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Mohd Zahari Ismail berkata tanpa warga yang cemerlang, bukan sahaja dasar dan perancangan yang baik tidak dapat dijalankan malah, operasi dan      perjalanan urusan harian institusi tidak akan menjadi lancar sekali gus mencemarkan imej perkhidmatan awam.

“POLYCC kini menjadi teras dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Malaysia. Kita tidak hanya menyediakan kurikulum TVET didorong industri dan latihan berkualiti, tetapi juga bertindak sebagai landasan bagi masyarakat untuk memilih TVET sebagai laluan utama ke arah pembangunan kerjaya yang mampan dan cemerlang,”

“Dengan semangat dan tekad yang padu, POLYCC mampu menggapai tahap yang lebih tinggi sekali gus melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” ujar beliau semasa merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti  (JPPKK) Ts. Abdul Razak Sabtu.

Turut hadir Pengarah PSA Zainah Rujihan yang juga merupakan Pengerusi POLYCC Zon Selangor & Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Koordinasi TVET JPPKK Dr. Norhayati Ibrahim dan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi JPPKK A. Azman Arshad serta pengarah-pengarah dan timbalan-timbalan pengarah POLYCC Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sementara itu Zainah berkata, APC bukan semata-mata pengiktirafan kepada pegawai yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi.

Malahan, ia juga pemangkin kepada warga POLYCC untuk terus berada di landasan yang tepat ke arah pencapaian visi dan misi Politeknik dan Kolej Komuniti, lantas memupuk budaya kerja kelas pertama.

Seramai 115 pegawai dan kakitangan daripada empat politeknik dan 10 kolej komuniti Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima APC pada kali ini.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti