HULU LANGAT, 12 OKTOBER 2024 – Pensyarah dari Unit Teknologi Pemprosesan Makanan Kolej Komuniti Sabak Bernam (KKSB) telah dipilih untuk menerima Anugerah Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Zon Selangor.
Noor Izzati binti Umor, Pensyarah Unit Teknologi Pemprosesan Makanan di KKSB antara sepuluh yang terpilih bagi setiap kolej komuniti di Zon Selangor yang dianugerahkan anugerah khas ini bersempena Majlis Perasmian Karnival Variasi Pembelajaran Sepanjang Hayat 2024 melibatkan kolej komuniti Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Anugerah ini diberikan kepada pegawai-pegawai yang aktif mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) jam pengurusan dan pengajaran, bilangan peserta tertinggi bagi anjuran Kursus PSH yang dijalankan dan terimaan amanah tertinggi.
Perasmian majlis dan penyampaian sijil kepada kesemua penerima anugerah ini disempurnakan oleh Dato Wira Johan Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua.
“Setiap kolej komuniti mempunyai kepakaran atau niche area dalam bidang TVET masing-masing. Kepelbagaian bidang kepakaran ini memberi peluang yang lebih banyak kepada komuniti untuk membuat pilihan berdasarkan minat masing-masing,”kata beliau semasa ucapan perasmian.
“Secara tidak langsung program sepanjang hayat juga menawarkan bidang yang bersesuaian mengikut bidang kepakaran tersebut tanpa menafikan bidang yang menjadi tumpuan masyarakat umum seperti keusahawanan, teknologi maklumat, masakan dan sajian dan lain-lain.”
Turut menerima anugerah khas ini, ialah pensyarah dari Kolej Komuniti Hulu Langat, Hazlilawati Zainal yang mempunyai kepakaran dalam bidang Penyejukan dan Penyamanan Udara bagi peringkat Sijil dan telah mendapat pengiktirafan Industry on Campus dari JPPKK.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama sepenuhnya Kolej Komuniti Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang sebagai rakan kolaborasi memilih Stadium Kajang yang terbuka buat orang awam supaya dapat memberi pendedahan dan mampu meningkatkan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti dan kursus yang dianjurkan oleh PSH di Kolej Komuniti.
Kolej Komuniti Zon Selangor melaksanakan kursus-kursus PSH yang berimpak tinggi sepanjang program ini berlangsung dan penglibatan terbuka untuk orang awam. Program dimeriahkan lagi dengan pameran rakan kolaborasi dan agensi-agensi awam dan swasta seperti Tabung Haji, Career Fair dan Sesi Temuduga oleh PERKESO, Poliklinik An-Nur, KWSP, Amanah Raya, Demonstrasi Drone Soccer oleh Malaysian Drone Soccer Association & UAS dan sebagainya.
Terdahulu, KKSB turut melaksanakan kursus penghasilan key chain menggunakan laser engraving untuk memberi peluang kepada para pengunjung menghasilkan key chain nama mengikut kreativiti sendiri.