Life News Agency (LNA), 7 Oktober 2024
KUANTAN – Seramai 150 pelajar jurusan Diploma Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan (DLS), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berpeluang mendalami bidang logistik menerusi program Logistics Human Resource Development of Intensive Course on Logistics Operation and Networking 2024.
Para pelajar diberikan pendedahan dan latihan berkaitan amalan industri logistik oleh empat tenaga pengajar dari Jepun yang memiliki kepakaran dalam bidang logistik dan dibantu oleh 15 fasilitator yang terdiri daripada pensyarah Jabatan Perdagangan, POLISAS.
Program yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini merupakan inisiatif bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dan POLISAS, melalui jalinan usahasama penganjuran daripada kerajaan Jepun menerusi Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan(MLIT) dan Yayasan Kumpulan Sagawa Holdings (SGH).
Majlis pembukaan program ini telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Logistik Negara, MOT, Dr. Kanageswary Selvakumaran. Hadir sama Timbalan Pengarah Pusat Logistik Antarabangsa, Biro Logistik dan Pengangkutan Jalan, MLIT, Masatoshi Furuta, Ahli Majlis Yayasan SGH dan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SG Holdings Co., Ltd., Hidekazu Matsumoto serta Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim.
Dr. Kanageswary dalam ucapannya berkata, di Malaysia, saiz pasaran kargo dan logistik telah mencecah 28.12 USD bilion pada 2024, dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 5.28%.
“ Pertumbuhan yang ketara dalam industri logistik menunjukkan kepentingan industri untuk meningkatkan produktiviti, mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang mampan dan meningkatkan potensi pertumbuhan KDNK di Malaysia.
“Selaras dengan aspirasi kerajaan, MOT dan KPT akan meneruskan kerjasama dan juga kerjasama dengan MLIT dan SGH”, katanya.
Sementara itu, Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan dan meluaskan pengetahuan serta pemikiran pelajar berkaitan dunia logistik, memandangkan industri logistik merupakan tulang belakang ekosistem rantaian bekalan Malaysia. Malah ia juga sebagai platform untuk perkongsian ilmu dan kemahiran industri logistik pada masa hadapan.
Tambah beliau, program ini juga diharapkan dapat membentuk sahsiah pelajar yang berketrampilan cemerlang dan memberi kesedaran kepada pelajar akan pentingnya untuk mengetahui isu logistik global bagi memastikan generasi muda kini seiring dengan matlamat negara untuk merealisasikan Malaysia sebagai hub logistik di Rantau Asia Tenggara.
“Secara tidak langsung, program ini dapat mempersiapkan mental dan fizikal pelajar dalam menghadapi dunia pekerjaan logistik dan ekosistem rantaian bekalan pada masa akan datang.
“ Diharapkan program ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar dalam menentukan hala tuju kerjaya kelak di samping memastikan kesiapsiagaan untuk menghadapi permintaan logistik global yang semakin berkembang”, ujarnya.