Gaya hidup sihat suis nyalakan kesejahteraan

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
23 April 2026
Harian Metro, KERATAN AKHBAR

Pernah saya mendengar orang berkata, ‘Waktu yang paling sukar untuk menjaga kesihatan ialah semasa sihat.’ Lama saya merenung ungkapan kata ini. Akhirnya, saya menemui erti maksudnya. Ya, waktu tubuh badan dalam situasi baik, sihat dan segar megar, kita jarang mahu memikirkan langkah memelihara tahap kesihatan secara sedar dan bersungguh.

Sengaja saya pilih ungkapan kata tersebut kerana ia memberikan suatu kesedaran betapa pentingnya beringat sewaktu sihat sebelum datangnya sesuatu penyakit. Lalu di suatu ketika pada hari minggu saya membawa anak-anak untuk beriadah di persekitaran Tasik Lipur Kota, Muadzam Shah tidak jauh dari tempat tinggal saya di Taman Redan Perdana.

Meskipun jarak antara lokasi riadah popular itu dengan kediaman hanya sekitar dua kilometer sahaja, tetapi saya dan keluarga jarang menjenguhnya. Hanya baru-baru ini hati tergerak kuat untuk melakukan brisk walk bersama anak-anak.

Sibuk dengan tugasan kerjaya. Ya itu alasan peribadi yang selalu terpendam dan terluah apabila ada sahabat-sahabat jiran tetangga yang mengajak beriadah. Naskhah buku yang dihadiahkan oleh sahabat saya, Cikgu Rashidane benar-benar menjentik rasa untuk bersegera ubah gaya hidup agar tidak sekadar khusyuk dengan kerjaya semata-mata, sebaliknya harus juga memikirkan corak rutin yang boleh meningkat tahap kesihatan. Terima kasih sahabat atas hadiah buku kesihatan itu.

Dari halaman pertama hingga ke penghujung bab, semuanya saya hadam satu persatu. Setiap satu baris ayat yang ditulis oleh pengarang, dari setiap bab dilakar dengan panduan hidup sihat yang terkandung dalam naskhah itu telah menyedarkan diri bahawa kalau mahu fizikal tubuh sihat, ia tidak hanya datang dengan gaya pemakanan yang berkhasiat dan berzat sahaja.

Ada gaya hidup lain yang turut memainkan tugasan tersendiri dalam menaikkan kualiti hidup iaitu bersenam/bersukan dan beriadah. Saya tidak menunggu lama untuk mengamalkan apa yang dipetuakan pengarang, sebaliknya saya berikhtiar kuat mencari waktu hujung minggu demi mahu melihat dan merasai kebaikan bersukan dan melakukan riadah itu.

Antara ungkapan yang sangat menginsafkan diri ialah apabila membaca sebaris ayat yang menyebut, ‘Kita kurang bergerak bukan sebab kita telah tua, tetapi kita tua kerana kurang bergerak.’ Kita hanya bergerak dan langkahkan kaki mungkin di persekitaran tempat kerja sahaja dengan fikiran dan mood yang bersarang dengan pelbagai emosi akibat bebanan kerja. Suasana pergerakan itu sebenarnya masih tidak menepati rangka gaya hidup sihat yang boleh mengangkat kualiti kesihatan. Akan tetapi apabila kita berusaha ‘menyita’ sedikit waktu untuk melakukan aktiviti senaman seperti bris walk contohnya, mood gembira dan rehat jiwa menyelinapkan ke dalam diri.

Memang sangat ketara sekali kesan langsung yang saya dan anak-anak peroleh apabila bersama-sama dengan orang lain lakukan riadah gerakkan badan dalam aktiviti bris walk di persekitaran Tasik Lipur Kota itu. Badan berpeluh, keringat meleleh di seluruh tubuh berselang-seli dengan daya nafas dan denyut nadi yang agak kencang sedikit, tetapi nikmat bersenam melebihi segalanya.

Tambah menarik perhatian saya apabila sambil berjalan secara laju itu dilakukan, gelak tawa gurauan anak-anak menambahkan ‘suplemen’ yang menumbuhkan kesegaran pagi di pinggir tasik sesekali airnya berkocak, mungkin ikan-ikan sedang ‘bergurau-senda’ sesama mereka.

Sesungguhnya, bersenam dan lakukan riadah santai di waktu pagi sangat bermanfaat besar dalam memulihkan tubuh yang lesu, menyegarkan minda yang kusut dengan aneka persoalan kerjaya, malah ia mampu menjadi ‘janakuasa’ yang menyalakan seluruh fizikal, mental dan emosi kita. Sekali gus rumusan faedah yang saya sendiri kecapi itu menjadikan saya berkata, ‘Sebuah naskhah buku mampu mengubah dan mentransformasikan gaya hidup si pembacanya.’

Bersenam dan lakukan riadah bersama ahli keluarga, selain untuk ‘menghidupkan’ gaya hidup sihat pada fizikal tubuh, ia sebenarnya mampu membina keakraban yang lebih mesra sesama ahli keluarga. Malah, kawan-kawan baru juga saya peroleh melalui aktiviti santai ini apabila sikap saling bertegur sapa dan bertanya khabar dihulurkan untuk salam perkenalan dengan orang lain yang sama-sama melakukan riadah. Tubuh sihat, jalinan ukhuwah bertambah.

Benarlah barisan kata yang terakam dalam ‘falsafah kesihatan’ yang menukilkan bahawa jika sesuatu penyakit itu datangnya dari corak dan gaya hidup, maka kesembuhan dan pemeliharaan kesihatan juga seharusnya bermula dengan gaya hidup.

Apabila diri sendiri mula dapat menikmati rasa sihat dengan bersenam dan riadah, maka minda turut cerdas dengan daya fikir yang mantap. Ini sekali gus menjadi tonik terbaik dalam menjadikan mutu kerja semakin meningkat. Tidak lagi memulakan langkah kaki ke pejabat dan kalau saya ke bilik kuliah dan bengkel untuk bersama pelajar dalam keadaan tidak bersemangat. Namun, segalanya berubah dengan atur tapak kaki yang penuh bertenaga dalam semangat jiwa yang segar.

Sebenarnya bersenam dan lakukan riadah juga adalah selari dengan tuntutan Islam yang mahukan umatnya sihat, kuat dan bersemangat. Tidakkah Baginda Rasulullah SAW pernah berpesan bahawa: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, namun pada masing-masing terdapat kebaikan.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidakkah kita juga sudah sering sangat membaca peringatan Baginda SAW yang meminta kita agar sentiasa ingat dan berwaspada dalam lima perkara utama. Pesan Baginda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum datangnya waktu sakit. Masa kamu kaya sebelum datangnya saat kesempitan, masa muda sebelum tiba umur tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Jadi, kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah merupakan nikmat yang perlu/wajib disyukuri.

Encik Mohd Rizal Azman Bin Rifin

Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah

Disiarkan pada: April 15, 2026

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti