
KUCHING: Warga Kolej Komuniti Kuching (KKKG) diseru mengamalkan budaya berjimat cermat, memperkukuh integriti serta meningkatkan kerjasama berpasukan dalam menghadapi cabaran semasa.
Pengarah KKKG Sumbang Mandaw berkata, setiap warga institusi perlu bijak mengurus sumber dan kewangan, bukan sahaja dalam kehidupan peribadi tetapi juga dalam pengurusan pejabat.
Beliau menekankan kepentingan mematuhi langkah penjimatan kerajaan, termasuk penggunaan elektrik secara berhemah.
“Mulakan dengan perkara kecil seperti menutup suis dan mengawal penggunaan tenaga kerana disiplin kecil mampu membentuk organisasi yang besar,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKKG di sini.
Beliau turut menekankan bahawa kepercayaan adalah aset paling berharga dalam organisasi, justeru setiap warga kerja perlu melaksanakan amanah dengan penuh integriti dan komitmen tinggi.
Sumbang juga mengulas mengenai dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan bermula pada 15 April ini, menegaskan ia bukan bermaksud kelonggaran tanggungjawab.
Sebuah garis panduan khusus BDR sedang dirangka oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.
Selain itu, beliau mengingatkan warga KKKG agar peka terhadap gejala penyakit tuberkulosis (tibi) yang masih aktif di negara ini.
“Sekiranya mengalami simptom seperti batuk berpanjangan atau demam berpeluh malam, segera dapatkan pemeriksaan. Kita jaga kita, bersama kita hentikan tibi,” katanya.
Dalam usaha meningkatkan prestasi institusi, Sumbang menyeru semua pihak memberi fokus kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan menyokong pelaksanaan 13 Iltizam Aspirasi 2026 POLYCC, termasuk pemerkasaan kolej komuniti, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan, dan pembinaan minda pasukan yang positif.
Katanya, kejayaan institusi tidak bergantung kepada individu semata-mata tetapi memerlukan kekuatan pasukan yang saling menyokong.
Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Program 90 Days Weight Loss Challenge 3.0. Pemenang pertama, Jefferyson Adam Henry Adam yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15.7 kilogram, diikuti Nur Hakim Raifli (kedua) dan Nur Syazwanie Abdul Rahman (ketiga).
Program yang berlangsung dari 15 Disember 2025 hingga 15 Mac 2026 itu merupakan kerjasama strategik antara KKKG dan Kementerian Kesihatan Malaysia (Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching), melibatkan penyertaan 35 warga KKKG.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Elfy Fariza Sharkawi dan Timbalan Pengarah Akademik Nurul Hidayah Yusoff.
Sumber: Utusan Borneo Online/ 9 April 2026