
Kangar: Kolej Komuniti Arau (KKA) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemacu utama Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Perlis menerusi penganjuran Sambutan Jubli Perak 25 Tahun (bermula 2001 hingga tahun ini) yang melabuhkan tirai di kampusnya baru-baru ini.
Penganjuran berprestij yang berlangsung selama dua hari itu bukan sekadar bertujuan meraikan mercu tanda penubuhan suku abad kolej berkenaan.
Sebaliknya, ia menjadi platform strategik dalam mengeratkan jalinan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, pihak industri serta komuniti setempat.
Pengarah KKA, Rosnizam Kamis berkata, pencapaian 25 tahun satu manifestasi sokongan padu pelbagai pihak dalam memartabatkan TVET sebagai pilihan utama kerjaya belia masa kini.
“Usia 25 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat melainkan perjalanan sarat cabaran dan kejayaan.
“Sepanjang tempoh itu, Kolej Komuniti Arau kekal komited memainkan dengan menjadi pendorong utama TVET dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti, memperkasa kemahiran tinggi serta mentransformasikan sosio ekonomi masyarakat tempatan,” katanya dalam kenyataan media.
Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak disempurnakan oleh Pengerusi Penasihat Kolej Komuniti Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman.
Hadir sama, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Pengarah Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Azirin Abdul Aziz mewakili Ketua Pengarah JPPKK, pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, mantan pengarah KKA, wakil industri serta delegasi antarabangsa dari Medan, Indonesia.
Rosnizam berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada warga tempatan dan alumni serta dimeriahkan dengan penganjuran 15 aktiviti berimpak tinggi.
Beliau berkata, ia merangkumi pelbagai segmen masyarakat seperti Silver Heritage Bites Run, pertandingan sukan dan kejohanan e-sukan serta kursus pendek.
“Turut diadakan adalah pameran TVET inovatif, tapak jualan usahawan tempatan, Pertandingan Silver Voice dan pertandingan perahu naga.
“Tidak ketinggalan, perhimpunan alumni KKA, rewang dan kenduri rakyat dengan kerjasama KRT Taman Cempaka Putih serta penduduk Kampung Tambun Tulang,” katanya.
Rosnizam berkata, kejayaan penganjuran sambutan itu memberi keyakinan kepada KKA untuk terus melangkah ke hadapan dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang kalis masa hadapan demi memenuhi tuntutan industri dan pembangunan negara.
Oleh: Redzuan Muharam
31 Oktober 2026, 6.33 petang