148 warga Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kedah/Perlis terima APC

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
18 December 2024
Lain-Lain

Jendelamadani.net, 17 Julai 2024

Seramai 148 warga Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bagi Zon Kedah/Perlis telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Masing-masing menerima anugerah ini sempena majlis APC POLYCC 2023 yang berlangsung di Dewan Sri Mas, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS), Jitra, Kedah pagi ini.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk Pengarah Kanan (Akademik), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohd Noor Shahudin yang diiringi Pengarah POLIMAS, Rosli Idris.

Majlis penuh gemilang itu seterusnya diserikan dengan ucapan daripada Mohd Noor yang menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada penerima APC POLYCC 2023.

MANIFESTASI KEPERIHATINAN KERAJAAN

Beliau dalam ucapannya turut menegaskan bahawa penganjuran Majlis APC ini merupakan satu manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam yang berkualiti, dinamik dan berprestasi tinggi.

“Sesungguhnya majlis ini diadakan khas untuk mengiktiraf sumbangan dan jasa bakti tuan-tuan dan puan-puan yang telah menunjukkan pencapaian dan dedikasi yang tinggi sepanjang tahun 2023”.

“Saya amat berterima kasih dan menghargai komitmen tuan-tuan dan puan-puan yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah, ikhlas dan bersungguh-sungguh ke arah mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang,” katanya.

Beliau juga menekankan agar penghargaan yang diberikan ini menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada warga POLYCC yang lain untuk terus meningkatkan kecemelangan pada masa akan datang dan menjadi suri dan teladan kepada semua.

Pengarah POLIMAS, Rosli Idris dalam ucapan aluannya berkata, pencapaian cemerlang ini merupakan pemangkin kepada usaha-usaha Kerajaan untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara.

SARANAN KEPIMPINAN NEGARA

“Saya pasti, kecemerlangan prestasi yang telah ditunjukkan pada tahun lepas mencerminkan saranan kepimpinan negara yang menjadikan “MALAYSIA MADANI” sebagai teras kecemerlangan pentadbiran dan perkhidmatan telah disahut dengan jayanya,” katanya.

Katanya lagi, beliau berharap pengiktirafan ini menjadi pendorong dan pembakar semangat penerima APC untuk terus meningkatkan kecemerlangan pada masa akan datang serta menjadi mentor terbaik kepada rakan sekerja.

Majlis ini juga merupakan tanda pengiktirafan dan penghargaan jabatan kepada warga POLYCC Kedah/Perlis yang telah menghasilkan kualiti perkhidmatan yang cemerlang dan, lebih penting lagi, telah memenuhi kehendak pemegang taruh jabatan.

Ia juga merupakan pengiktirafan atas sumbangan dan pencapaian cemerlang warga kerja dalam melaksanakan tugas rasmi serta penglibatan secara aktif dalam kegiatan sukan, kemasyarakatan, persatuan dan lain-lain sumbangan bakti yang bermanfaat kepada jabatan khasnya dan negara amnya. – JM

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti