KULIM, 15 Disember 2024 – Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) hari ini melangkah lebih jauh dalam memperkukuhkan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dengan pelancaran empat inisiatif baharu yang berimpak tinggi. Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah ULPL PTSB ini menyaksikan pelancaran Northern Advance Reskilling and Upskilling Centre (NARUC), Program Diploma Profesional Telekomunikasi, Pusat Penilaian Kompetensi Bertauliah (PPKB CIDB) dan Kelab Dron PTSB serta Penandatangan LOI dengan industri.
NARUC adalah sebuah pusat latihan yang diwujudkan untuk meningkatkan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran bagi tenaga kerja dewasa yang dijangka menjadi pemangkin kepada daya saing industri Malaysia dalam era digital dan automasi. Dengan sokongan daripada pelbagai pihak industri, NARUC bertujuan menjana tenaga kerja yang lebih berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran global.
Pengerusi POLYCC Zon Kedah dan Perlis, Tuan Haji Rosli bin Idris, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa pelancaran ini adalah bukti komitmen POLYCC dalam menyediakan peluang pembelajaran berterusan yang dapat memberi impak positif kepada graduan dan industri.
“Dengan pelancaran NARUC dan kerjasama strategik dengan sektor industri, PTSB antara yang berada di barisan hadapan dalam memastikan kemahiran tenaga kerja negara seiring dengan perkembangan teknologi semasa,” katanya.
Selain itu, PTSB juga melancarkan Program Diploma Profesional Telekomunikasi yang melibatkan 15 kakitangan dari G2R Sdn. Bhd. Program ini dibiayai oleh geran khas RM144,000 daripada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal mereka dalam bidang telekomunikasi.
Satu lagi sorotan penting ialah penubuhan Pusat Penilaian Kompetensi Bertauliah (PPKB CIDB) yang akan memudahkan penilaian dan pensijilan kemahiran pekerja industri di kawasan Kulim Hi-Tech Park. Ini akan mempercepatkan proses pentauliahan dan memberi manfaat kepada majikan dalam meningkatkan kualiti tenaga kerja mereka.
Namun, yang paling menarik perhatian adalah pelancaran Kelab Dron PTSB yang membuka peluang kepada pelajar untuk mendalami teknologi masa depan terutamanya dalam sektor logistik, keselamatan dan pertanian. Kelab ini akan diperkukuhkan dengan sumbangan tiga unit dron yang dianggarkan bernilai RM7,500 daripada Unmanned Automated Solutions Sdn. Bhd. (UAS). Dron ini akan digunakan untuk meningkatkan lagi ekosistem pembelajaran dron di PTSB dan memberi ruang kepada pelajar untuk melatih kemahiran mereka dalam teknologi terkini.
Pengarah Urusan UAS, Encik Mohd Noor Murtadha bin Alias, turut hadir untuk menyerahkan sumbangan tersebut yang disambut dengan penuh penghargaan oleh Hj. Mohd Ruzi bin Hamzah, Pengarah PTSB. Sumbangan ini bukan sahaja menyokong inisiatif pendidikan PTSB tetapi juga mencerminkan komitmen UAS dalam memajukan kemahiran teknologi tinggi dalam kalangan pelajar TVET di Malaysia.
Pelancaran ini turut dihadiri oleh wakil-wakil industri, termasuk Dr. Koh Ngee Loke dari Ultra Clean Technology Sdn. Bhd. (UCT), yang turut menunjukkan sokongan mereka terhadap program TVET PTSB dan keyakinan terhadap kualiti graduan yang dihasilkan oleh institusi ini melalui sesi penandatanganan LOI bersama PTSB.
Dengan inisiatif-inisiatif ini, PTSB mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam sektor TVET negara, menawarkan peluang latihan yang relevan dengan kehendak industri dan teknologi semasa serta menghasilkan graduan yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.