Dari Kampus Ke Pentas Antarabangsa: Polyagro PMS Raih Emas Di IMInE 2.0

POLITEKNIK MUADZAM SHAH
23 April 2026
BERITA, Penyelidikan dan Inovasi

Shah Alam, 14 April 2026 – Pasukan Polyagro dari Politeknik Muadzam Shah (PMS) terus mengukir kejayaan apabila berjaya mengharumkan nama institusi di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam International Millennipreneur Innovation & Commercialization Exhibition 2.0 (IMInE 2.0) yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Pertandingan yang berlangsung dari 12 hingga 14 April itu telah menghimpunkan sebanyak 88 penyertaan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina, menjadikannya antara platform inovasi dan keusahawanan yang kompetitif di rantau ini.

Pasukan Polyagro PMS yang terdiri daripada tiga orang pelajar di bawah bimbingan mentor, En. Mohd Emran Bin Mat Hassan, berjaya mempamerkan prestasi cemerlang apabila meraih Pingat Emas, sekali gus mengiktiraf kualiti dan potensi inovasi yang dihasilkan.

Lebih membanggakan, pasukan tersebut turut dinobatkan sebagai Naib Juara bagi kategori Food Security & Innovation yang melayakkan mereka menerima hadiah wang tunai sebanyak RM750.

Kejayaan pasukan ini tidak terhenti di situ apabila mereka turut merangkul dua anugerah khas iaitu Anugerah Idea Inovasi Terbaik dan Anugerah Ruang Pameran Tercantik, masing-masing bernilai RM500. Secara keseluruhan, pasukan Polyagro PMS berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,750.

Pencapaian ini diraih menerusi inovasi produk Sambal Garing Cendawan, yang menonjolkan elemen kreativiti, nilai komersial serta potensi untuk diperluaskan dalam industri makanan berasaskan inovasi. Produk tersebut bukan sahaja memenuhi keperluan semasa dalam aspek keselamatan makanan, malah berjaya menarik perhatian juri melalui keunikan konsep dan persembahannya.

Kejayaan ini mencerminkan keupayaan pelajar Politeknik Muadzam Shah dalam menghasilkan inovasi berkualiti tinggi serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. Ia juga membuktikan bahawa gabungan usaha gigih, bimbingan berterusan dan semangat juang yang tinggi mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan.

Selain itu, pencapaian ini turut memperkukuhkan reputasi PMS sebagai institusi yang komited dalam melahirkan graduan yang kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam bidang keusahawanan serta teknologi.

Diharapkan kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada seluruh warga PMS khususnya para pelajar untuk terus berani mencuba, mencipta dan meneroka peluang baharu dalam dunia inovasi dan keusahawanan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti