Majlis Graduasi Pensijilan Profesional Pendawai Elektrik Kompeten PW2 Kolej Komuniti Jelebu

KOLEJ KOMUNITI JELEBU
29 April 2025
Akademik

JELEBU, 29 April – Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) melalui Unit Sijil Teknologi Elektrik Pemasangan dan Perkhidmatan (STE) telah menganjurkan Majlis Graduasi Pensijilan Profesional Pendawai Elektrik Kompeten PW2.

Selain mengiktiraf pencapaian graduan, majlis yang julung kali diadakan ini bertujuan meraikan graduan KKJU yang telah berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Teknologi Elektrik dengan memperoleh Sijil Perakuan Kekompetenan sebagai Pendawai Fasa Tunggal (PW2) dari Suruhanjaya Tenaga (ST) setelah lulus peperiksaan pada tahun 2024.

Untuk rekod, sejak tahun 2010 pihak ST telah memberikan kebenaran kepada KKJU sebagai Pusat Pentauliahan PW2 dan sepanjang tempoh tersebut seramai 505 orang graduan telah lulus peperiksaan sebagai Pendawai Elektrik Kompeten PW2.

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi (BPPI), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), A  Azman Arshad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa JPPKK akan sentiasa mendukung 7 Fokus Utama yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun 2025 yang mana salah satu daripadanya ialah ‘Penyediaan Bakat Terbaik Negara.’

Menurut beliau, kejayaan graduan KKJU memperoleh Sijil Perakuan Kekompetenan sebagai Pendawai Fasa Tunggal PW2 ini adalah usaha ke arah menyediakan bakat terbaik negara dalam bidang TVET yang sekaligus mengangkat jenama KKJU dan JPPKK secara keseluruhannya.

Tambah beliau lagi, hasrat KKJU untuk dinaiktaraf daripada Pusat Pentauliahan PW2 kepada Pusat Pentauliahan Pendawai Tiga Fasa Dengan Endorsan Pengujian atau PW4 wajar diberi perhatian berdasarkan pencapaian yang telah dicatatkan.

‘’Bahagian Perancangan Program Dan Institusi bersama Bahagian Kurikulum menyokong hasrat murni agar KKJU menjadi kolej komuniti pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan ST sebagai Pusat Pentauliahan PW4,’’ ujarnya.

Seramai 37 orang graduan telah diraikan dalam majlis ini dengan memperoleh Sijil Profesional Pendawai Elektrik Kompeten PW2 masing-masing.

Turut hadir Pengarah KKJU, Abdul Rahim Ibrahim, Timbalan Pengarah Bahagian Kurikulum, Marzita Muhamad Tazi dan Penolong Pengarah Unit Kekompetenan Elektrik, Suruhanjaya Tenaga, Azlina Hassan.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti