POLISAS perkukuh hubungan antarabangsa melalui misi pengantarabangsaan ke Jepun

POLITEKNIK SULTAN HAJI AHMAD SHAH
21 May 2025
BERITA, Kolaborasi

KUANTAN – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) terus melakar langkah proaktif dalam memacu kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke peringkat global dengan termeterainya kolaborasi menerusi Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) antara POLISAS dan Japan Da’wah Centre (JDC) di Osaka, Jepun baru-baru ini.

Sesi menandatangani Surat Hasrat ini disempurnakan oleh Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim dan Pengasas serta Pengerusi JDC, Zulkarnain Hassan Basri dan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitumal dan Operasi), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr. Asmadi Abd Rahman dan Pengarah Kolej Komuniti Jerantut (KKJP), Azad Muslim Muhammad. Surat Hasrat ini turut melibatkan aktiviti bersama MUIP dan KKJP. Hadir sama dalam program ini adalah Timbalan Pengarah Akademik, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik dan Ahli Mesyuarat Pengurusan POLISAS.

Majlis yang merupakan simbolik kepada permulaan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang akademik, kebudayaan dan dakwah berteraskan nilai sejagat ini diadakan bersempena program Lawatan Penandaarasan POLISAS ke Jepun bermula pada 16 sehingga 20 Mei 2025.

Program penandaarasan di Jepun ini merupakan anjuran bersama POLISAS dan MUIP, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), KKJP, JDC dan juga National Institute of Technology (KOSEN), Jepun.

Pengarah POLISAS dalam ucapan penghargaannya berkata, JDC telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan POLISAS dengan pihak industri khususnya dalam bidang halal, teknologi makanan, sains sosial dan kejuruteraan serta menghubungkan POLISAS dengan institusi pendidikan tinggi teknikal seperti KOSEN di Jepun.

“Ini adalah satu lonjakan besar dalam usaha POLISAS memperluas jaringan antarabangsa dan meningkatkan kebolehpasaran pelajar TVET. Dengan termeterai Surat Hasrat ini, POLISAS dijangka dapat menjalankan pelbagai aktiviti kolaborasi, di mana JDC telah berbesar hati menerima pelajar POLISAS dari pelbagai bidang kejuruteraan, teknologi makanan dan perdagangan untuk menjalani latihan industri di JDC.

POLISAS juga amat berbesar hati dengan perancangan kerjasama masa hadapan, termasuk inisiatif program Halal antara Jepun dan Malaysia, serta usaha memperluas hubungan dengan lebih banyak institusi TVET dan industri di Jepun”, katanya.

Tambah beliau lagi, kerjasama strategik ini amat dihargai bukan sahaja dari sudut manfaat pendidikan dan latihan, malah sebagai jambatan budaya dan dakwah yang menjangkau sempadan.

Program yang berlangsung selama beberapa hari ini turut merangkumi sesi penandaarasan di National Institute of Technology (KOSEN), yang merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi teknikal terkemuka di Jepun. Sepanjang lawatan, delegasi POLISAS dibawa melawat kemudahan kampus seperti makmal, bengkel, pusat penyelidikan, bilik kuliah dan asrama. Lawatan ini telah membuka peluang kerjasama yang berpotensi memberi manfaat besar kepada kedua-dua institusi, khususnya dalam pembangunan TVET, pertukaran kepakaran, serta peningkatan kualiti pendidikan teknikal di peringkat global.

Sebelum itu, pada 12 Mei 2025 seramai 22 orang pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), POLISAS dibawa meninjau industri mekanikal di Jepun melalui kunjungan ke Koizumi Seisakusho Co., Ltd., sebuah syarikat kejuruteraan mekanikal yang terkenal dengan teknologi pembuatan berinovasi tinggi. Pensyarah terlibat telah berada di Jepun bermula pada 8 sehingga 13 Mei 2025 bagi menjayakan program Mechanical Minds Across Borders : Benchmarking Japanese Engineering and Culture.

Pensyarah JKM didedahkan dengan teknologi terkini dalam industri termasuk proses pembentukan paip berautomasi tinggi, teknik kimpalan berkualiti tinggi untuk aplikasi industri berat, sistem pengukuran dan kawalan kualiti yang terkini serta amalan Lean Manufacturing dan persekitaran kerja yang efisien.

Lawatan ini turut membuka ruang kerjasama strategik dan memberi idea penambahbaikan dalam pengajaran, pengurusan makmal serta penyelidikan berkaitan bidang fabrikasi logam dan kejuruteraan mekanikal. Penandaarasan ini memberikan pendedahan kepada tenaga pengajar POLISAS mengenai amalan industri sebenar serta potensi kerjasama industri-akademia pada masa hadapan.

Selain itu, aktiviti mempromosi Malaysia dan POLISAS kepada masyarakat Jepun termasuk juga sesi perkongsian intelektual oleh pihak MUIP turut dilaksanakan di JDC dan Osaka Islamic Center (OIC).

Program Pengantarabangsaan ke Jepun ini membuktikan komitmen berterusan POLISAS dalam menjalin jaringan global demi memperkasa modal insan bertaraf antarabangsa sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti