PSA catat kadar kebolehpasaran graduan 99.5 peratus

POLITEKNIK SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH
12 August 2025
Akademik, BERITA, Uncategorized

10 Ogos 2025, Shah Alam – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) terus membuktikan keunggulannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara apabila kadar kebolehpasaran graduannya melonjak kepada 99.5 peratus bagi tahun 2024 berbanding 96.1 peratus pada 2023.

Lebih membanggakan, graduan ijazah sarjana muda mencatatkan 100 peratus kebolehpasaran, sekali gus mengukuhkan keyakinan industri terhadap kualiti lulusan institusi berkenaan.

Pengarah Korporat Sumber Manusia Panasonic Appliance Air-Conditioning (M) Sdn. Bhd., Dato’ Moktar Mohd Salleh berkata, pencapaian itu membuktikan kurikulum yang dibangunkan adalah relevan, diiktiraf dan memenuhi kehendak pasaran kerja semasa.

“Graduan hari ini bukan sekadar perlu menguasai ilmu dan kemahiran teknikal, malah perlu diperkasa dengan ciri-ciri kepimpinan, integriti serta pembelajaran berterusan dalam membentuk modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global yang semakin kompleks dan mencabar,”

“Pelaksanaan pembelajaran berasaskan pendekatan industry-led seperti Work-Based Learning (WBL) dan Industry on Campus (IOC) terbukti satu langkah yang realistik serta berpotensi besar dalam melahirkan graduan yang relevan dengan kehendak dan keperluan semasa industri,” katanya semasa merasmikan sidang satu Majlis Konvokesyen PSA kali ke-26 di Dewan Al-Jazari di sini, hari ini.

Beliau turut mencadangkan beberapa langkah tambahan yang boleh dilaksanakan bersama pihak industri bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan, antaranya memperkenalkan Program ‘Talent Pipeline’, modul mikro-kelayakan berasaskan kemahiran teknikal semasa, meningkatkan penglibatan industri dalam penilaian kurikulum, kolaborasi projek real-world dan memperluas program sangkutan industri pensyarah.

Sementara itu, Pengarah PSA Zainah Rujihan berkata, melalui inisiatif TVET For All dalam Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023–2030, PSA komited menyediakan akses pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang akademik.

Tambah beliau, PSA juga merancang menubuhkan Institute of Medical Engineering Technology (IMET), yang merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang menyokong fokus POLYCC terhadap penguasaan teknologi termaju seperti Additive Manufacturing dan Electric Vehicle.

“IMET akan menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang kejuruteraan perubatan, mewujudkan sinergi antara pendidikan, penyelidikan dan industri,” katanya.

Majlis konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 937 graduan menerima ijazah sarjana muda, diploma serta sijil dalam bidang kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan mekanikal serta perdagangan.

Sejak penubuhannya pada 1997, PSA telah melahirkan 44,509 graduan dalam pelbagai bidang.

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti