
GEORGE TOWN, 12 Ogos 2025 – Program “Heritage in Style” sempena George Town Fashion Week 2025 telah berlangsung penuh meriah selama seminggu dengan acara kemuncak pertunjukan fesyen pada 9 dan 10 Ogos lalu. Festival berprestij ini menghimpunkan 25 pereka fesyen tempatan dan antarabangsa termasuk dari Vietnam dengan misi mengangkat dan mempromosikan warisan budaya Pulau Pinang melalui fesyen.
Kolej Komuniti Arau (KKA), Perlis melalui Unit Sijil Fesyen dan Pakaian bukan sekadar menjadi peserta tetapi juga bertindak sebagai Pengarah Program bersama Kolej Komuniti Bukit Mertajam. KKA menghantar dua rekaan akhir daripada 10 rekaan terpilih masing-masing hasil karya pensyarah dan alumni untuk mewakili POLYCC Fashion Malaysia.
Lebih membanggakan, kedua-dua rekaan tersebut dipamerkan dalam kategori pameran rekaan dan seterusnya terpilih ke finale show bagi keseluruhan persembahan sekali gus mengangkat nama POLYCC Fashion Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ke pentas antarabangsa.
Antara alumni yang terlibat ialah Muhammad Hakim bin Mat Nourdinn, pemilik Bunga Exclusive, yang menamatkan pengajian dalam bidang Sijil Fesyen dan Pakaian di KKA pada tahun 2018. Penglibatan beliau bersama pensyarah KKA membuktikan bahawa graduan tempatan mampu menyerlah di peringkat antarabangsa sambil mengekalkan identiti warisan dalam setiap rekaan.
Penglibatan aktif pensyarah-pensyarah Fesyen dan Pakaian serta alumni KKA sepanjang dua hari acara kemuncak bukan sahaja memperlihatkan komitmen dan bakat luar biasa mereka malah membuktikan bahawa fesyen adalah medium berkuasa untuk mengetengahkan keunikan warisan budaya negara di persada dunia.