Menyeberang Laut Demi Ilmu: Kembar Sabah Teroka Bidang TVET di KK Arau

KOLEJ KOMUNITI ARAU
19 August 2025
Akademik

ARAU, 11 Ogos 2025 – Perjalanan merentas beribu kilometer tidak mematahkan semangat pasangan kembar dari Tuaran, Sabah untuk memulakan langkah baharu dalam dunia Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Kolej Komuniti Arau (KKA), Perlis.

Intan Nursyafika binti Zulkifli (kakak) dan Intan Nursyafinaz binti Zulkifli (adik) merupakan anak pertama dan kedua daripada empat beradik memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Sijil Teknologi Pemprosesan Makanan sejajar dengan minat mendalam mereka terhadap bidang kemahiran teknikal.

Berkongsi perasaan mereka, kedua-duanya meluahkan rasa teruja untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu di perantauan. Mereka turut berterima kasih kepada pihak kolej yang menyediakan persekitaran pembelajaran kondusif serta pensyarah yang mesra dan sentiasa sedia membantu. Sokongan ahli keluarga, termasuk ibu saudara yang menetap di Changlun, Kedah menjadi dorongan penting buat mereka untuk menyesuaikan diri di negeri baharu.

Pengarah Kolej Komuniti Arau, Rosnizam Kamis berkata kehadiran pelajar dari pelbagai negeri termasuk Sabah mencerminkan reputasi KKA sebagai institusi pilihan bagi mereka yang mahu memperoleh kemahiran berkualiti serta membina kerjaya dalam pelbagai bidang teknikal.

Pasangan kembar itu berharap ilmu yang bakal diperoleh bukan sahaja menjadi bekalan membina masa depan lebih cerah tetapi juga memberi inspirasi kepada anak muda di kampung halaman mereka untuk berani mengejar cita-cita walaupun perlu merantau jauh. Selamat maju jaya diucapkan kepada pasangan kembar ini. Semoga perjalanan menuntut ilmu di Kolej Komuniti Arau dipenuhi kejayaan, pengalaman berharga dan peluang yang cerah untuk masa depan. Teruskan melangkah dengan semangat dan keyakinan!

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti