Reeny Rani, anak orang asli Temiar tekad jadi jurutera, tembus sempadan ilmu di POLIMAS

POLITEKNIK SULTAN ABDUL HALIM MUADZAM SHAH
19 August 2025
Akademik, BERITA

Suara.TV

Oleh Zihan Zari

JITRA – “Macam tak percaya saya boleh jejakkan kaki Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) , ”luah Reeny Rani, anak Orang Asli dari suku Temiar.

Kini Reeny sedang menimba ilmu dalam bidang Diploma Teknologi Kejuruteraan Mekanikal Plastik dan telahpun diterima sebagai pelajar baharu Sesi 1 : 2025/2026 di POLIMAS.

Reeeny, 19, anak ketiga dari lima orang adik beradik daripada pasangan Rani Alang dan Fafeah Alut merupakan bekas pelajar SMK Clifford, tinggal di perkampungan Orang Asli Lalang Baru, Lasah, Sungai Siput, Kuala Kangsar, Perak.

Perkampungan Reeny yang jauh di pedalaman dan hanya boleh diakses melalui jalan balak sahaja, perjalanannya menuju ke POLIMAS bukan sahaja jauh, malah terpaksa mengharungi cabaran yang mengambil masa selama lebih empat jam.

“Akhirnya sampai juga ke sini, saya tak pernah sampai ke Jitra pun sebelum ini, dan cara percakapan orang di sini pun berlainan,” katanya sambil tersenyum.

Namun begitu, keinginan Reeny untuk belajar bidang kejuruteraan dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bercita-cita untuk menjadi jurutera telah membakar semangatnya untuk terus melangkah jauh dari kampung halaman.

Minat Mekanikal, Impian Jadi Jurutera

“Saya memilih kursus mekanikal plastik kerana minat terhadap penciptaan dan binaan dan suka bidang yang mencabar dan membina sesuatu.

“Saya seronok menggalas tanggungjawab sebagai pelajar dan mahu jadi jurutera suatu hari nanti,” kata Reeny penuh yakin.

Dorongan untuk berjaya datang daripada abangnya yang kini berkhidmat sebagai anggota polis.

“Saya nak ikut jejak abang, dapat pekerjaan yang membanggakan. Abang saya jadi sumber inspirasi saya,” katanya.

Pengorbanan Keluarga & Sokongan JAKOA

Reeny juga mengakui bahawa keluarga adalah tulang belakang kejayaannya. Bapanya merupakan peniaga kedai runcit, manakala ibunya seorang suri rumah.

“Mak ayah saya sanggup buat apa saja supaya saya berjaya. Mereka sanggup berkorban dan itu buat saya kuat.”

Bantuan pengajian yang diterima daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA) Negeri Perak turut membuka jalan untuk Reeny menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Cabaran Bahasa dan Cara Hidup

“Antara halangan utama yang saya hadapi ialah komunikasi dan perbezaan budaya.

“Saya akan ambil masa nak faham cara orang bercakap dan gaya hidup di sini, namun saya belajar untuk dengar, faham, dan mula bergaul perlahan-lahan, ” katanya.

“Kehidupan kampus di POLIMAS memberi pengalaman baru yang menyeronokkan buat saya.

“Saya tinggal sebilik berdua, selesa dan rakan-rakan semuanya baik dan saling hormat-menghormati di samping kemudahan pembelajaran di sini pun sangat membantu, ”katanya lagi.

Nasihat Buat Rakan Orang Asli

“Buat rakan-rakan dari komuniti Orang Asli, jangan malu-malu kalau datang belajar di tempat orang, kita kena biasakan diri untuk berjaya.

“Walau susah macam mana sekalipun kita cuba menggali ilmu, jangan pernah berputus asa kerana ilmu akan membantu mencorak masa hadapan kita, ”kata Reeny menitipkan pesanan penuh semangat.

Dengan semangat, daya juang yang tinggi, tidak kenal putus asa, Reeny kini menanam harapan untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan menjadi jurutera berjaya dan berkaliber.

Beliau mahu membuktikan bahawa anak Orang Asli juga mampu melangkah jauh ke hadapan dalam dunia pendidikan dan kerjaya.-SUARA.TV

BERITA BERKAITAN

Hak Cipta Terpelihara © Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti